KUALA LUMPUR: Sekumpulan individu yang didakwa mencetuskan gangguan awam selepas terlibat dalam konvoi kenderaan pacuan empat roda dan motosikal ‘scrambler’ elektrik sambil membakar suar di Jalan Sultan Ismail berhampiran Bukit Bintang di sini, awal pagi tadi diburu polis.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 2 pagi sebelum video aksi tersebut tular di aplikasi Threads.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, video tersebut memaparkan kira-kira lapan individu menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux dan motosikal scrambler elektrik dalam keadaan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Dalam video berkenaan jelas menunjukkan terdapat pembakaran suar di atas sebuah kenderaan Hilux di tengah jalan berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang.
“Perbuatan itu boleh mengancam keselamatan awam dan menjejaskan ketenteraman penduduk serta peniaga di sekitar kawasan tumpuan pelancong tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kumpulan terbabit dipercayai berlegar di sekitar kawasan Bukit Bintang sebelum video tersebut dimuat naik di media sosial.
Tambah beliau, polis turut mengesan terdapat kain rentang memaparkan nombor ‘6.6’, namun maksud sebenar tulisan berkenaan masih dalam siasatan.
“Setakat ini kita percaya terdapat kira-kira tujuh hingga lapan individu terlibat termasuk penunggang motosikal dan individu menaiki Hilux.
“Kita juga sedang mengesan pemilik kenderaan terbabit termasuk motosikal yang digunakan kerana ada antaranya tidak mempunyai nombor pendaftaran,” ujarnya.
Menurut beliau, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selain itu katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan lalu lintas dan pemanduan berbahaya.
Sazalee berkata, pihaknya juga sedang mengesan sebuah premis dipercayai menggunakan modus operandi bagi mempromosikan pakaian dan disyaki beroperasi di Dengkil.
“Kita akan panggil pihak terlibat untuk membantu siasatan. Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mengambil kesempatan menganjurkan aktiviti sehingga boleh menjejaskan imej negara dan keselamatan awam,” jelasnya.
Beliau turut menyeru individu yang terlibat supaya tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan.
Dalam masa sama, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan lanjut. – UTUSAN










