KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini diberitahu bahawa rakaman video yang memaparkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir sedang menunggang basikal pada 12 Julai 2025 adalah tulen dan tidak pernah diubah suai.
Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintenden Mohamad Zaidi Abu Hassan berkata, berdasarkan pengalaman dan analisis teknikal dijalankan, beliau mengesahkan video berkenaan merupakan rakaman asal.
Saksi ke-70 itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh yang merujuk kepada rakaman video memaparkan Allahyarham berbasikal bersama seorang rakan kira-kira pukul 4.43 petang, 12 Julai 2025.
Bagaimanapun, Mohamad Zaidi berkata, hasil analisisnya tidak dapat mengenal pasti lokasi sebenar rakaman video itu dibuat.
Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa terdapat beberapa video lain yang diekstrak daripada telefon bimbit dianalisisnya, termasuk rakaman bertarikh 9 Mac 2025 berdurasi 29 saat pada pukul 11.29 malam serta satu lagi video berdurasi satu saat pada pukul 11.38 malam.
Selain itu, Mohamad Zaidi berkata, perbualan aplikasi WhatsApp antara 12 hingga 13 Julai 2025 daripada telefon bimbit berlabel ‘WF11’ yang dianalisisnya mengandungi 3,285 muka surat.
“Pada 12 Julai, saya tidak menjumpai seperti yang dimohon (perbualan teks),” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira pukul 4 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis. Pada 8 Ogos 2025, AGC turut mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan. – UTUSAN










