Pertikaian komersial melalui mediasi pro bono boleh selesai dalam lima hari

Pertikaian komersial melalui mediasi pro bono boleh selesai dalam lima hari

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyelesaian pertikaian komersial melalui inisiatif mediasi pro bono baharu disasar dapat dicapai dalam tempoh antara tiga hingga lima hari sebagai alternatif kepada proses litigasi yang lebih panjang di mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif yang diperkenalkan melalui Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) itu menyediakan platform penyelesaian pertikaian komersial bagi kes bernilai RM250,000 dan ke bawah.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pertikaian komersial dapat diselesaikan dengan lebih cepat tanpa membebankan pihak terlibat seperti proses mahkamah yang memakan masa panjang.

“Saya juga telah mengarahkan tadi kalau boleh kita dapat selesaikan dalam masa terdekat, tidak mahu tunggu bertahun-tahun. Ini projek yang pertama di bawah Pusat Mediasi Madani.

“Saya mahu menggalakkan mereka kalau boleh cuba selesai tiga hari ke sebab kalau semua bersetuju hendak bertemu, dia orang boleh cuba selesaikan cepat. Kalau tidak, macam mahkamah bertahun-tahun tidak selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Khidmat Pro Bono Komersial di Auditorium Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, inisiatif itu merangkumi 26 jenis pertikaian komersial dan sivil, termasuk kes kontrak, kerja, kegagalan pembayaran perkhidmatan serta pertikaian perniagaan kecil.

“Saya menggalakkan semua kes di bawah RM250,000 yang melibatkan 26 jenis kes yang disenaraikan untuk datang ke Pusat Mediasi Madani. Kita mahu bantu rakyat.

“Setakat ini terdapat 173 pengantara yang berdaftar dan mereka semua menawarkan perkhidmatan secara percuma termasuk untuk dalam dan luar negara.

“Saya melihat ini sebagai perkembangan yang baik untuk membantu rakyat. Sesiapa yang mempunyai pertikaian tanpa diwakili, boleh hadir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN