SUNGAI PETANI: Perbuatan sindir menyindir dan mengumpat di media sosial dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan pelajar perempuan sebuah sekolah di Bedong, di sini Rabu lalu.
Pergaduhan membabitkan 10 pelajar di hadapan sekolah berkenaan menyebabkan empat pelajar tingkatan satu hingga empat mengalami kecederaan lebam-lebam di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanya Ramlan berkata, pihaknya mengesan klip video yang tular di media sosial memaparkan kejadian itu yang dipercayai berlaku antara pukul 1 hingga 2 petang.
“Namun, semakan mendapati tiada laporan polis dibuat mana-mana pihak sebelum Ketua Polis Balai Bedong sendiri bertindak membuat laporan keesokan harinya. Polis kemudian memulakan siasatan dan mendapati kejadian itu berlaku semasa pelajar pulang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata Hanyan, hasil temubual dengan pihak sekolah mendapati kejadian itu berpunca daripada salah faham membabitkan penggunaan media sosial apabila beberapa pelajar dipercayai saling menyindir sesama mereka.
“Pihak sekolah memaklumkan telah menasihati pelajar terlibat dan kes dianggap selesai apabila mereka bermaafan.
Namun semasa bertembung di luar sekolah, berlaku pertengkaran sesama mereka sebelum beberapa pelajar saling tolak menolak,” katanya.
Beliau berkata, pergaduhan kecil itu cuba dileraikan oleh rakan mereka yang kemudiannya merebak sehingga melibatkan lebih 10 pelajar lain.
“Polis menahan tujuh daripada mereka yang berusia antara 13 hingga 16 tahun dan sedang menjejaki beberapa lagi pelajar yang terlibat dalam pergaduhan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, orang ramai terutama ibu bapa diharap lebih peka membuat laporan polis supaya kejadian seperti itu dapat ditangani segera, selain diminta tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan komen negatif menyentuh isu agama, kaum dan bangsa susulan penularan video itu. – UTUSAN










