SUNGAI PETANI: Polis meminta saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian seorang bayi lelaki patah tulang paha semasa menerima rawatan di sebuah hospital, di sini tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, wanita yang mendapat rawatan selepas bersalin atau mana-mana ahli keluarga yang berada di hospital itu antara 28 April hingga 10 Mei lalu diminta tampil segera.
“Saya minta keluarga-keluarga yang mungkin berada dalam wad tersebut yang mungkin tahu ataupun melihat, ingin berkongsi maklumat, sila hubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda.
“Kita memerlukan bantuan mereka bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan selepas bapa mangsa membuat laporan polis pada 11 Mei lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Kata Hanyan, polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-kanak 2001 dan sedang menunggu hasil siasatan dalaman pihak hospital berkenaan.
“Kita juga telah membuat siasatan sendiri melalui perjumpaan dengan kakitangan hospital yang bertugas, menerima pendapat pakar, melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan menemubual saksi lain.
“Kita perlu mengumpul bukti untuk memastikan kecederaan bayi itu adakah akibat semula jadi atau ada unsur-unsur perlakuan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia 13 hari dipercayai patah tulang paha kanan ketika menerima rawatan akibat penyakit jaundis.
Muhammad Nor Fadly Mohd. Shaidi, 38, berkata, dia dan isterinya, Nor Shahila Abd Hamid, 34, hanya mengetahui kejadian itu selepas melihat kaki anak keempat mereka berbalut di wad pemerhatian hospital itu.
Bayi terbabit didakwa dalam keadaan normal dan mampu menggerakkan kedua-dua kaki dengan baik semasa dilahirkan pada 28 April lalu. Dia kini masih menerima rawatan di hospital sama termasuk penggunaan khidmat membabitkan pakar luar. – UTUSAN










