PETALING JAYA: UOB Malaysia mengumumkan penawaran bantuan pembiayaan dipertingkatkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM).
Kemudahan itu menyediakan sokongan bersasar bagi membantu PKS mengukuhkan aliran tunai serta mengekalkan operasi perniagaan dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi pelanggan dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
“Menerusi kemudahan seperti Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS oleh Bank Negara Malaysia, kami dapat menyalurkan sokongan yang praktikal dan tepat pada masanya bagi membantu perniagaan mengurus tekanan aliran tunai, mengekalkan operasi serta kekal berdaya tahan pada masa hadapan.
“Sebagai tambahan kepada bantuan sebelum ini, fokus kami kekal untuk menyokong pelanggan di setiap peringkat ketika mereka berdepan keadaan pasaran yang sentiasa berubah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, di bawah SME SRF, pelanggan layak mendapat pembiayaan sehingga RM750,000 pada kadar sehingga 3.75 peratus setahun, termasuk fi jaminan, dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun.
“Kemudahan ini turut disokong jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) atau Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC),” katanya.
SME SRF oleh BNM bertujuan menyediakan bantuan kewangan tepat pada masanya kepada PKS yang berdepan gangguan operasi dan tekanan kewangan.
Ia khususnya akibat faktor luaran seperti konflik di Asia Barat yang menjejaskan aliran pendapatan serta kestabilan perniagaan. – UTUSAN










