PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) memilih dua sekolah bagi memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan negara dan komuniti menerusi penyertaan dalam Program Anak Angkat Sekolah MADANI anjuran kerajaan.
Dua sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pantai Sepang Putra di Sepang, Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Omar di Alor Setar, Kedah.
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan komuniti sekolah yang kurang mendapat perhatian melalui akses pendidikan, pembelajaran digital dan pemerkasaan guru yang lebih baik.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See berkata, pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara manakala guru kekal menjadi tunjang utama dalam usaha tersebut.
“Melalui Program Anak Angkat Sekolah MADANI, MAG komited menyokong pelajar dan pendidik menerusi akses kepada sumber pembelajaran, pendedahan kerjaya serta pembangunan profesional guru.
“Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, kami percaya pembangunan komuniti mampan bermula dengan pelaburan terhadap insan dan penciptaan peluang yang memperkasa generasi masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, MAG turut berhasrat menyumbang kepada akses peluang yang lebih saksama serta impak sosial jangka panjang kepada komuniti setempat.
Menurutnya, ia menerusi pelbagai inisiatif termasuk sokongan infrastruktur digital, program pendedahan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penglibatan kerjaya pelajar dan pembangunan profesional pendidik.
“Usaha ini turut mencerminkan peranan lebih luas MAG dalam menyokong ekosistem pendidikan negara.
“Ia sekali gus menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) 17: Perkongsian Demi Matlamat menerusi kerjasama strategik yang memacu pembangunan komuniti secara inklusif dan mampan,” ujarnya.
Pada 9 Mei lalu, MAG melaksanakan Program Latihan Kemahiran Insaniah untuk guru dan kakitangan sokongan SMK Dato’ Syed Omar meliputi pengurusan tekanan, kecerdasan emosi, komunikasi interpersonal dan kompetensi kepimpinan.
MAG turut menganjurkan Ceramah Kerjaya dan Motivasi di sekolah berkenaan yang disertai lebih 240 pelajar bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh akses digital di sekolah, MAG turut menyumbang lebih 30 komputer desktop kepada SK Taman Pantai Sepang Putra bagi menyokong infrastruktur digital sekolah serta meningkatkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran berteraskan teknologi.
Sumbangan itu dijangka membantu merapatkan jurang digital dan memperluas akses kepada persekitaran pembelajaran berasaskan teknologi, khususnya bagi komuniti sekolah yang kurang mendapat perhatian.
Philip See berkata, MAG akan terus memperluas sokongan kepada kedua-dua sekolah menerusi pelbagai inisiatif akan datang termasuk lawatan pendedahan pendidikan untuk pelajar serta program pembangunan profesional guru.
“Menerusi inisiatif berterusan yang memfokuskan akses digital, pemerkasaan pelajar dan pembangunan pendidik, MAG kekal komited menyokong komuniti yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan.
“Ini di samping menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi jangka panjang negara serta melahirkan bakat masa depan dalam industri penerbangan dan sektor lain,” jelasnya. – UTUSAN










