PETALING JAYA: Polis sedang mengesan seorang pemandu lori yang dipercayai terlibat dalam kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Jalan Desa Serdang, Seri Kembangan, Selangor, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa lelaki tempatan berusia 65 tahun yang menunggang motosikal Honda Wave 125cc berwarna merah dipercayai terlibat kemalangan dengan sebuah lori jenis bonded berwarna putih.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori tersebut masuk ke simpang dari jalan utama secara cuai.
“Penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak sebelum bergesel dengan lori terbabit lalu terjatuh di atas jalan.
“Mangsa kemudiannya ditemukan orang awam selepas kejadian sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang semalam akibat kecederaan parah di kepala (Severe Traumatic Brain Injury).
Katanya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kilang berhampiran mengesahkan berlaku pelanggaran antara motosikal mangsa dan lori terbabit.
“Bagaimanapun, nombor pendaftaran lori tersebut tidak dapat dikenal pasti dengan jelas,” ujarnya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Raziman Rasid di talian 019-4565502,” katanya.
Dalam pada itu, polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, memandu secara berhemah dan berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – UTUSAN










