Polis kenal pasti 407 ‘hotspot’, 76 ‘blackspot’ sempena Aidiladha

Polis kenal pasti 407 ‘hotspot’, 76 ‘blackspot’ sempena Aidiladha

MUHAMMED HASBULLAH ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 407 lokasi panas (hot spot) dan 76 lokasi hitam (black spot) dikenal pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sempena Hari Raya Aidiladha 2026 bagi memastikan pemantauan trafik dapat dilakukan secara lebih menyeluruh sepanjang musim perayaan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, lokasi yang dikenal pasti itu melibatkan laluan utama, jalan persekutuan serta lebuh raya yang dijangka mengalami peningkatan jumlah kenderaan ketika orang ramai pulang ke kampung dan bercuti bersama keluarga.

Menurutnya, antara kawasan lokasi panas yang diberi perhatian ialah Kilometer (km) 3 hingga KM18 Jalan Kota Bharu-Gua Musang ekoran laluan itu sering mengalami kesesakan trafik terutama pada waktu puncak dan musim cuti panjang.

“Bagi lokasi titik hitam pula, kawasan yang dikenal pasti berada di KM1 hingga KM9 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam yang direkodkan sebagai antara laluan berisiko tinggi berlaku kemalangan jalan raya.

“Purata trafik harian di lebuh raya utama dan lebuh raya sambungan dijangka boleh mencecah sehingga 3.3 juta kenderaan pada hari puncak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Muhammed Hasbullah, pihak JSPT menganggarkan jumlah trafik di lebuh raya utama meningkat antara 15 hingga 30 peratus berbanding hari biasa susulan cuti musim perayaan dan cuti berganda yang berlaku serentak tahun ini.

Jelas beliau, sebanyak 70 peratus anggota ditugaskan sempena musim perayaan ini bagi memastikan operasi pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara.

“Penugasan anggota turut melibatkan kawalan lalu lintas di persimpangan utama, kawasan bandar, plaza tol serta laluan yang dijangka menerima peningkatan jumlah kenderaan secara mendadak menjelang sambutan Aidiladha.

“JSPT sentiasa bersiap siaga dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran aliran trafik menerusi pelaksanaan penguatkuasaan trafik, rondaan lebuh raya dan pengurusan lalu lintas di kawasan yang memerlukan pemantauan rapi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan jauh.

“Pemandu dinasihatkan supaya tidak memandu dalam keadaan letih kerana ia boleh mengurangkan tahap fokus dan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

“Selain itu, pengguna jalan raya diminta sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta mengamalkan sikap berhemah dan bertimbang rasa terhadap pengguna lain demi memastikan keselamatan semua sepanjang musim perayaan Aidiladha,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN