PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kemungkinan mengadakan kunjungan singkat ke Tamil Nadu, India pada September depan sekiranya mempunyai kesempatan ketika lawatan rasminya ke negara itu.
Perkara berkenaan dibincangkan menerusi perbualan telefon bersama Ketua Menteri Tamil Nadu, C. Joseph Vijay, hari ini.
Anwar dijadual menghadiri Sidang Kemuncak BRICS, selain mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
“Saya turut maklumkan akan ke India pada September nanti bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS serta mengadakan pertemuan dengan PM Modi.
“Jika ada kesempatan, saya akan mengadakan kunjungan singkat ke Tamil Nadu,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hantaran sama, Anwar sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Vijay atas amanah besar yang sedang digalasnya demi rakyat Tamil Nadu.
“Semoga Vijay terus diberikan kekuatan dan hikmah untuk memimpin serta mentadbir dengan baik demi kesejahteraan rakyat dan masa depan yang sempurna buat Tamil Nadu,” katanya.
Pada 12 Mei lalu, akhbar ini melaporkan, Anwar merakamkan ucapan tahniah kepada Vijay yang juga merupakan bintang filem India selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu.
Vijay mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu selepas parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) berjaya memperoleh jumlah kerusi terbesar dalam pilihan raya negeri itu.
TVK muncul sebagai parti terbesar dengan 108 kerusi, namun masih gagal mencapai majoriti mudah 118 kerusi.
Selepas Vijay mengosongkan satu daripada dua kerusi yang dimenanginya, kekuatan parti itu berkurangan kepada 107 kerusi.
Beberapa hari berikutnya menyaksikan rundingan intensif diadakan dengan parti-parti kecil bagi mendapatkan sokongan tambahan.
Indian National Congress (Congress) menjadi parti pertama menyatakan sokongan menerusi lima ahli dewan undangan negeri (MLA) dimilikinya.
Perkembangan paling penting berlaku apabila Viduthalai Chiruthaigal Katchi (VCK), Communist Party of India (CPI), Communist Party of India-Marxist (CPM) dan Indian Union Muslim League (IUML) masing-masing mengumumkan sokongan dengan dua MLA setiap parti.
Sokongan itu menjadikan jumlah keseluruhan kerusi disokong meningkat kepada 120 melepasi ambang majoriti 118 kerusi. – UTUSAN










