KUALA LUMPUR: Sebanyak 347,000 kilogram e-waste bernilai RM1.256 juta dirampas dalam serbuan serentak ke atas dua premis pemprosesan sisa elektronik (e-waste) haram sekitar Selangor semalam.
Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) KDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, dalam serbuan dilakukan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman di stor dan premis pemprosesan sisa elektronik itu turut membawa kepada penahanan 25 warga asing bagi membantu siasatan.
Katanya, seramai 24 lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 19 hingga 50 tahun berjaya ditahan bagi membantu siasatan.
“Turut dirampas sebanyak 347,000 kilogram e-waste yang telah dileraikan, lima unit kompresor, satu unit sistem pengumpul habuk, empat tong gas, mesin kitar semula air, dua unit ketuhar serta cerobong asap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi bermula dijalankan hasil risikan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dan Jabatan Alam Sekitar Sepang.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 38(1)(a) akta sama.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Kuala Langat turut mengeluarkan kompaun RM1,000 dan notis pemberhentian perniagaan terhadap premis terbabit.
Mohd. Zaki berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga hari ini, pihaknya melaksanakan 158 serbuan di seluruh negara melibatkan pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barang tidak berkastam, ketirisan barang kawalan, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-waste.
“Sepanjang tempoh itu, seramai 335 individu berjaya ditahan hasil operasi dijalankan,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras kegiatan jenayah seumpama itu. – UTUSAN










