DI sebalik timbunan telefon pintar rosak, komputer lama dan wayar elektrik terpakai, tersembunyi satu industri bernilai tinggi yang semakin berkembang di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Namun, apa yang lebih membimbangkan bukan sekadar lambakan sisa elektronik atau e-waste, tetapi proses pemprosesannya yang melibatkan bahan kimia berbahaya dan mampu mengancam kesihatan manusia serta alam sekitar jika dilakukan secara haram dan tidak terkawal.
Baru-baru ini, pihak berkuasa berjaya menahan beberapa kontena e-waste yang cuba dibawa masuk secara tidak sah melalui pelabuhan negara.

Rampasan ini membuktikan Malaysia masih menjadi sasaran sindiket antarabangsa untuk aktiviti pemprosesan sisa elektronik kerana industri ini mampu menjana keuntungan besar hasil pengekstrakan logam bernilai tinggi seperti emas, tembaga dan perak.
Selain faktor ekonomi, terdapat juga isu waste colonisation apabila negara membangun menjadi destinasi lambakan sisa dari negara maju.
Ada pihak mengambil kesempatan membawa masuk sisa elektronik secara haram untuk diproses di negara yang mempunyai kos operasi lebih murah.
E-Waste Sebagai “Lombong Moden”
Hakikatnya, e-waste kini dianggap sebagai “lombong moden” kerana kandungan logam bernilai tinggi dalam peralatan elektronik.
Komponen kecil seperti papan litar elektronik mengandungi emas, perak, tembaga, aluminium dan paladium yang mempunyai nilai tinggi di pasaran dunia.
Menurut beberapa kajian antarabangsa, satu tan telefon pintar terpakai boleh mengandungi kandungan emas lebih tinggi berbanding satu tan bijih emas daripada perlombongan tradisional.
Permintaan global terhadap logam seperti tembaga dan emas pula terus meningkat terutama dalam industri teknologi, bateri dan kenderaan elektrik.
Disebabkan nilai ekonominya yang tinggi, banyak pihak melihat e-waste sebagai sumber pendapatan lumayan. Keadaan ini mendorong kewujudan lebih banyak pusat pengumpulan dan pemprosesan termasuk yang beroperasi secara haram.
Malaysia pula sering menjadi pilihan kerana kedudukannya yang strategik serta kos operasi lebih rendah berbanding beberapa negara lain. Malah di Malaysia, setiap rakyat dianggarkan menghasilkan lebih 12 kilogram e-waste setahun.
Bahaya Bahan Kimia Dalam E-Waste
Dari sudut kimia, e-waste sebenarnya mengandungi gabungan pelbagai bahan yang kompleks. Selain logam berharga, komponen elektronik turut mengandungi bahan toksik seperti plumbum, merkuri, kadmium, kromium dan bahan berasaskan bromin yang digunakan dalam komponen elektronik moden.
Kebanyakan masyarakat hanya melihat e-waste sebagai sampah elektronik biasa. Hakikatnya, setiap peralatan elektronik yang dibuang boleh diibaratkan seperti “kotak kecil bahan kimia” yang menyimpan pelbagai bahan berbahaya di dalamnya. Apabila diproses secara tidak terkawal, bahan-bahan ini boleh terbebas ke udara, tanah dan sumber air.
Sebagai contoh, untuk mendapatkan logam berharga daripada papan litar elektronik, terdapat pengusaha menggunakan larutan berasid yang kuat bagi melarutkan logam tertentu sebelum dipisahkan semula.
Proses ini mungkin kelihatan mudah, namun jika sisa asid dibuang terus ke longkang atau sungai tanpa rawatan, kesannya boleh diibaratkan seperti “racun perlahan” kepada alam sekitar.
Pembakaran wayar elektrik secara terbuka bagi mendapatkan tembaga juga sering dilakukan kerana kaedah ini lebih cepat dan murah.
Dari perspektif kimia, pembakaran bahan plastik dan polimer pada suhu tinggi boleh menghasilkan gas toksik seperti dioksin dan furan yang sangat berbahaya kepada manusia.
Gas toksik ini tidak mempunyai bau yang kuat dan kadangkala tidak disedari kehadirannya. Namun, kesannya boleh berlaku dalam jangka masa panjang.
Ia boleh memasuki sistem pernafasan manusia sedikit demi sedikit seperti“musuh senyap” yang menyerang tubuh tanpa disedari.
Pekerja dan pengendali pusat pelupusan atau pemprosesan haram merupakan antara golongan paling berisiko terdedah kepada bahan kimia toksik ini. Pendedahan berterusan kepada asap pembakaran dan logam berat boleh menyebabkan masalah pernafasan kronik, kerosakan paru-paru, gangguan sistem saraf serta penyakit kulit.
Terdapat juga risiko kerosakan buah pinggang dan hati akibat pendedahan jangka panjang kepada logam berat seperti kadmium dan merkuri. Dalam sesetengah kes, pendedahan berpanjangan terhadap bahan toksik tertentu dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser.
Kanak-kanak yang tinggal berhampiran kawasan pemprosesan haram pula lebih mudah terjejas kerana tubuh mereka masih dalam proses pembesaran. Pendedahan kepada plumbum misalnya boleh menjejaskan perkembangan otak, keupayaan pembelajaran dan tingkah laku kanak-kanak.
Selain manusia, alam sekitar juga menerima kesan yang besar. Logam berat yang memasuki sungai boleh terkumpul dalam organisma akuatik sebelum memasuki rantaian makanan manusia. Dalam erti kata lain, pencemaran akibat e-waste bukan hanya kekal di tapak pelupusan, tetapi boleh “kembali semula” kepada manusia melalui air dan makanan yang tercemar.
Lebih membimbangkan, pencemaran logam berat sukar dipulihkan dalam tempoh singkat. Berbeza dengan sampah biasa yang boleh dilupuskan, bahan kimia toksik dalam e-waste boleh kekal dalam tanah dan ekosistem untuk tempoh yang sangat lama.
Penguatkuasaan Diperkukuh
Keuntungan besar hasil pemprosesan logam bernilai tinggi menyebabkan industri e-waste haram terus berkembang.
Dalam konteks ini, usaha penguatkuasaan pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi berkaitan wajar diberikan penghargaan kerana terus mempertingkat pemeriksaan di pelabuhan, kilang dan pusat pemprosesan bagi mengekang kemasukan e-waste haram.
Kerajaan juga memperketat syarat import sisa elektronik bagi memastikan Malaysia tidak menjadi “tapak pelupusan” sisa elektronik dunia.
Kesedaran Masyarakat
Namun, penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi tanpa kesedaran masyarakat. Masih ramai membuang peralatan elektronik rosak bersama sampah domestik biasa tanpa menyedari kandungan toksik di dalamnya.
Ada juga yang menjual barangan elektronik lama kepada pihak tidak bertanggungjawab tanpa mengetahui kemungkinan ia diproses secara haram.
Dari sudut pandang seorang ahli kimia, isu ini perlu dilihat bukan sahaja dari sudut ekonomi tetapi juga kesan saintifik terhadap manusia dan alam sekitar.
Dalam banyak penulisan berkaitan pencemaran, masyarakat sering memberi perhatian kepada plastik dan perubahan iklim, sedangkan pencemaran akibat e-waste melibatkan gabungan bahan kimia toksik yang lebih kompleks dan berbahaya.
Teknologi sememangnya membawa banyak manfaat kepada manusia. Namun, setiap kemajuan mempunyai kesan tersembunyi yang perlu diurus secara bertanggungjawab.
E-waste mungkin dilihat sebagai sumber ekonomi baharu kerana kandungan logamnya yang bernilai tinggi, tetapi tanpa pengurusan saintifik dan penguatkuasaan berterusan, “lombong moden” ini boleh bertukar menjadi ancaman toksik kepada alam sekitar dan generasi masa depan. – UTUSAN
NURAIN Nasrudin ialah Pensyarah di Faculty of Health and Life Sciences, Management and Science University (MSU).










