Aaron Aziz tubuh agensi pelancongan sendiri fokus jemaah umrah - Utusan Malaysia

Aaron Aziz tubuh agensi pelancongan sendiri fokus jemaah umrah

Karva Travel & Tours
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon popular, Datuk Aaron Aziz melancarkan agensi pelancongan miliknya sendiri yang memberi fokus kepada pelancongan mesra Muslim dan perkhidmatan umrah.

Menurut Aaron yang juga Pengarah Karva Travel & Tours Sdn. Bhd., pengalaman menunaikan umrah beberapa kali sebelum ini memberinya peluang memahami sendiri keperluan jemaah ketika menunaikan ibadah tersebut.

“Selepas beberapa kali menunaikan ibadah ini, kita akan faham apa sebenarnya keperluan jemaah. Jadi saya gunakan pengalaman yang ada untuk memudahkan urusan mereka yang menggunakan perkhidmatan Karva Travel.

“Selain itu, Karva Travel juga memberi tumpuan kepada bakal jemaah yang mungkin berdepan kesulitan seperti masalah kesihatan serta warga emas yang memerlukan perhatian lebih,” katanya pada majlis pelancaran di pejabat urusan Karva Travel & Tours Sdn. Bhd., hari ini.

Berkongsi mengenai situasi semasa yang menyaksikan peningkatan kos penerbangan, Aaron berkata pihaknya tetap komited menawarkan perkhidmatan umrah yang memenuhi keperluan setiap jemaah selain menyediakan pakej pelancongan mesra Muslim.

“Kita tidak sekadar menawarkan pakej umrah untuk golongan tertentu sahaja. Melalui pakej yang disediakan, kami cuba menyesuaikannya mengikut keperluan jemaah.

“Soal peningkatan harga minyak dan kos semasa, kami akan cuba sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan.

“Buat masa ini kami masih belum mampu menawarkan pakej haji, namun ia antara perancangan terbesar Karva Travel pada masa hadapan. Selain pakej umrah, kami juga menyediakan perkhidmatan pelancongan mesra Muslim ke beberapa destinasi,” katanya.

Mengulas isu kerugian hamper RM90,000 membabitkan sebuah agensi pelancongan dan 40 jemaah sebelum ini, Aaron memaklumkan dia memilih untuk melupakan perkara tersebut serta berharap penipuan dalam industri perkhidmatan umrah tidak terus berlaku.

“Soal itu saya tidak mahu panjangkan lagi dan kini sudah reda dengan apa yang berlaku. Saya juga sudah memaafkan mereka yang terlibat.

“Tetapi di Karva Travel, kami mahu memastikan setiap jemaah mendapat pengalaman yang baik ketika menunaikan umrah, terutama bagi mereka yang pertama kali mengerjakan ibadah itu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN