KUALA LUMPUR: Kerajaan sekali lagi memberi jaminan bahawa harga petrol bersubsidi RON95 di bawah program BUDI95 tidak akan dinaikkan dan kekal pada kadar RM1.99.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun terdapat tekanan ekonomi akibat lonjakan harga minyak mentah global namun harga minyak bersubsidi RON95 di negara ini kekal antara terendah di dunia selepas Brunei.
Katanya lagi, walaupun Malaysia mengimport kira-kira 50 peratus minyak mentah bagi kegunaan domestik namun kadar subsidi RM1.99 per liter masih dikekalkan sehingga hari ini.
“Saya minta golongan pekerja faham, kalau ditanya sebab apa saya berkeras kekalkan harga minyak RM1.99 (sedangkan) tekanan ekonomi, pakar-pakar, golongan konglomerat yang cadangkan supaya harganya dinaikkan, tetapi saya realistik, jaga ekonomi negara dan rakyat terutamanya pekerja di peringkat bawahan.
“Maka, beri sokongan kepada lagkah-langkah kita ambil. Walaupun terpaksa kita ambil beberapa langkah lain, percayalah kita tidak khianati amanah, tidak gunakan kuasa untuk kayakan diri atau keluarga.
“Tetapi, harga minyak jangan bimbang, kekal RM1.99,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak supaya tidak mengandaikan keadaan pada bulan Mei ini sama seperti suasana pada Februari lalu kerana suasananya lebih rumit sehingga banyak negara pengeluar minyak menaikkan harga minyak masing-masing termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Katanya, pada akhir Februari lalu, harga minyak global setong adalah sekitar AS&70 namun ketika ini melonjak antara AS$115 hingga AS$120 dan kesannya dirasai di seluruh dunia.
Tambahnya, keadaan itu membuatkan semua pihak terkesan termasuklah pekerja perladangan, perkilangan termasuklah golongan pemandu lori.
“Kerajaan, insya-Allah, akan terus kerja bertungkus lumus saban hari mengambil langkah-langkah perlu, tetapi jangan andaikan bulan Mei sama dengan bulan Februari kerana keadaan lebih rumit,” katanya.-UTUSAN










