ATHENS: Reporters Without Borders (RSF) mengecam Israel kerana menculik tiga wartawan yang berada di atas flotila bantuan Global Sumud yang menuju ke Gaza, selepas ia dipintas tentera rejim itu ketika berada di perairan antarabangsa.
Dalam satu hantaran di media sosial pada Khamis, RSF berkata ia mengecam penculikan di perairan antarabangsa oleh tentera Israel terhadap wartawan Perancis, Hafed Mribah dan jurukamera Turkiye, Mahmut Yavuz, yang kedua-duanya bekerja untuk Al Jazeera, serta wartawan, Alex Colston yang bekerja untuk media Amerika Syarikat (AS), Zeteo.
“Israel bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka,” kata RSF.
Al Jazeera turut menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan wartawannya.
“Rangkaian menegaskan pihak berkuasa Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan rakan sekerja kami Hafedh dan Mahmut, serta menggesa komuniti antarabangsa mengambil pendirian bersatu terhadap pelanggaran berulang undang-undang antarabangsa dan konvensyen oleh Israel,” katanya dalam satu kenyataan.
Al Jazeera yang memaklumkan terputus hubungan dengan pasukannya di atas flotila, turut menegaskan komitmen terhadap kebebasan media dan menggesa perlindungan semua wartawan serta memastikan mereka dapat menjalankan tugas tanpa gangguan.
Penganjur berkata, Israel memintas 22 daripada 58 kapal yang menuju ke Gaza pada lewat Rabu di perairan antarabangsa berhampiran Semenanjung Peloponnese, Greece, ratusan kilometer dari pantai Palestin.
Penganjur juga berkata, 211 orang telah ditahan, manakala Israel menyatakan mereka akan memindahkan tahanan ke Greece.
Susulan pemintasan flotila bantuan Gaza sebelum ini pada Oktober, beberapa aktivis yang ditahan mendakwa pihak berkuasa Israel melakukan penderaan fizikal dan mental termasuk dipukul, dipaksa berlutut, ditutup mata serta tidak dibenarkan tidur.
Israel bagaimanapun menyifatkan dakwaan aktivis termasuk aktivis iklim, Sweden Greta Thunberg dan 170 aktivis lain sebagai berita palsu.-AGENSI










