PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menarik balik cadangan pemotongan peruntukan operasi melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, cadangan Kementerian Kewangan untuk mengurangkan peruntukan operasi kerajaan sebanyak RM10 bilion daripada Bajet 2026 berjumlah RM229 bilion adalah mengecewakan, khususnya apabila melibatkan KKM sebanyak RM3.06 bilion dan KPT RM2.39 bilion.
Beliau berkata, pemotongan tersebut dilihat tidak selari dengan keutamaan sebenar negara memandangkan kedua-dua sektor itu memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Hanya kira-kira enam bulan lalu, kerajaan menetapkan peruntukan RM46.5 bilion kepada KKM dan RM18.6 bilion kepada KPT sebagai komitmen terhadap reformasi kesihatan dan kecemerlangan pendidikan tinggi.
“Namun kini, KKM dijangka berdepan pengurangan lebih enam peratus manakala KPT sehingga 12 peratus, melibatkan dua sektor kritikal negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, KKM ketika ini sedang berdepan tekanan tinggi dalam penyampaian perkhidmatan dengan keperluan lebih RM6 bilion bagi ubat-ubatan, vaksin serta keperluan perubatan lain, selain RM1.2 bilion untuk penyelenggaraan dan naik taraf fasiliti kesihatan.
Katanya, pengurangan peruntukan hanya akan memburukkan isu sedia ada termasuk memanjangkan lagi tempoh menunggu, meningkatkan kesesakan di hospital serta menambah tekanan terhadap petugas kesihatan.
Pada masa sama, Takiyuddin berkata, peruntukan KPT melibatkan penyelenggaraan infrastruktur, penggantian peralatan serta bantuan kewangan pelajar termasuk RM4.4 bilion bagi biasiswa, pinjaman dan bantuan pendidikan kepada golongan kurang mampu.
“Pemotongan dana ini mendedahkan kebajikan pelajar, kualiti institusi, kecekapan penyelidikan dan kebolehpasaran graduan kepada risiko,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, disiplin fiskal tidak seharusnya dilaksanakan dengan mengorbankan sektor asas seperti kesihatan dan pendidikan.
“Jika kerajaan serius menangani disiplin fiskal, ia perlu mendahulukan pembaziran, ketirisan dan perbelanjaan tidak perlu, bukan menyasarkan hospital, klinik dan universiti. Negara tidak akan maju jika kesihatan awam dikorbankan dan keperluan generasi muda diketepikan,” katanya.-UTUSAN










