GEORGE TOWN : Semua 28 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Pulau Pinang disasar mampu untuk memiliki tanah sendiri dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, ketika ini, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan pembangunan sekolah Tamil di negeri ini dapat dilaksanakan secara lebih terancang.
Menurut beliau, jawatankuasa khas itu juga telah mengambil alih tanggungjawab berkenaan sejak tiga tahun yang lalu dengan tumpuan diberikan kepada isu pemilikan tanah sekolah.
“Di Pulau Pinang, kita ada sejumlah 28 buah sekolah Tamil dan kita membantu menguruskan sekolah-sekolah ini melalui satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan negeri.
“Kita juga mahu pastikan kesemua sekolah-sekolah ini memiliki tanah sendiri selepas ini,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan surat kelulusan pembinaan bangunan baharu SJKT Rajaji yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh di sini, hari ini.
Sundarajoo yang juga Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang berkata, sepanjang tempoh tiga tahun yang lalu, lima sekolah telah berjaya memperoleh dan mendaftarkan hak milik tanah masing-masing.
Katanya, ketika ini, masih terdapat lima buah sekolah yang belum memiliki tanah dan pihaknya yakin perkara itu dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Dalam pada itu, Sundarajoo berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur untuk sekolah-sekolah Tamil menerusi pelaksanaan beberapa projek baharu.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya tiga projek sekolah Tamil di Pulau Pinang dijadual memulakan kerja pecah tanah tahun ini, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam sejarah pembangunan sekolah Tamil di negeri ini.-UTUSAN










