PETALING JAYA: Seramai 15 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cedera selepas trak dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Teratai, Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi- Ulu Kelang (SUKE), di Ampang dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.40 petang ketika trak berkenaan dalam perjalanan dari Kem Sungai Besi menuju ke Kuala Kubu Bharu.
Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum melanggar kawasan plaza tol.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan sistem brek.
“Kesemua 15 mangsa yang berada di bahagian tempat duduk belakang trak mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya , kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat dan tidak bertimbang rasa.
Jelasnya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan berulang, hukuman denda boleh meningkat sehingga RM15,000 serta penjara tidak melebihi tempoh sama.
“Pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan,” katanya.- UTUSAN










