KUALA LUMPUR: Majikan diingatkan supaya lebih prihatin dan menunjukkan sikap ihsan kepada pekerjanya bagi membolehkan golongan itu menikmati keselesaan serta keadilan sewajarnya supaya negara ini kekal aman, membangun serta maju.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan pekerja merupakan kelompok penting dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negara mahu pun syarikat tanpa mengira peranannya termasuklah sebagai petugas kebersihan.
Tegasnya, sekiranya tidak ada golongan pekerja bawahan yang bertungkus lumus di setiap peringkat maka tiadalah syarikat yang megah dan bergaya di negara ini.
Tambahnya, atas kesedaran itu, sebaik sahaja diberi amanah menubuhkan Kerajaan Madani, antara tumpuan utama kerajaan adalah menyelesaikan isu gaji pekerja.
“Hendak dapatkan keputusan gaji minima, berbahas sehingga 10 tahun untuk naikkan daripada RM1,200 ke RM1,500. Itu pun pelbagai masalah dibangkitkan, kata syarikat-syarikat besar, tidak mampu, akan jadi miskin kerana gaji naik sedikit.
“Tapi, Alhamdulillah, barisan pimpinan hari ini mengatakan mesti naik dan kita hadapi, maka naiklah RM1,700. Ingat saya puas hati? Saya tahu sukarnya dengan pendapatan sedemikian tetapi itukah komitmen kita,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata, pihaknya juga menetapkan gaji minimum bagi syarikat berkaitan kerajaan adalah bermula RM3,000 walaupun pada mulanya mendapat rungutan kerana kebimbangan namun akhirnya tetap dilaksanakan bahkan mencatatkan keuntungan.
“Maka saya ingin ulangi dan tegaskan, pekerja dengar, majikan dengar, syarikat-syarikat kaya, konglomerat dengar baik-baik, negara ini harus aman, membangun dan maju, tetapi mesti dijamin keselesaan.
“Orang kaya berpendapatan tinggi, harus juga menjamin nasib pekerja itu terbela, ini keutamaannya. Kita senaraikan berapa syarikat besar di negara dengan untung berbilion-bilion (tetapi) mahu naikkan gaji pekerja RM40 pun sukar. Bagaimana harus kita bangunkan (negara) ini,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pengorbanan polis, tentera, pegawai kerajaan selain golongan bawahan dengan risiko dihadapi untuk mempertahankan keamanan negara, adakah cukup pembelaan diperoleh mereka pada masa kini.
Katanya, kerajaan boleh laksanakan undang-undang di beberapa peringkat tertentu namun sukar untuk dilaksanakan bagi syarikat swasta kerana sistem sedia ada tidak menjadikannya formula mudah.
“Sebab itu saya ingin menggesa kerana wakil-wakil syarikat pun banyak di sini supaya renung sama apakah kita pilih untuk pastikan negara ini aman, jawabnya ya, untuk aman itu siapa yang bertanggungjawab, mereka itu pasukan keselamatan PDRM, tentera dan badan-badan penguatkuasaan.
“Kita mahu pekerja disiplin, produktiviti tinggi itu tanggungjawab pekerja di semua peringkat. Kita mahu di negara ini bersih maka tukang sapu sampah dan tukang cuci itu berperanan. Jadi boleh tak kita renungkan, ketuk pintu hati dan tanya apakah mereka ini diberi perhatian dan keadilan secukupnya,” katanya.-UTUSAN










