KUALA LANGAT: Seorang pesara kerajaan maut akibat dilanggar lori selepas motosikal Jenis Yamaha 135LC yang ditungganginya tergelincir dekat lorong tengah di Kilometer 6 Jalan Banting – Dengkil di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang itu apabila penunggang lelaki berusia 60-an berkenaan berada di lorong kanan ketika dalam perjalanan dari arah Olak Lempit menghala ke Banting.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, ketika di lokasi kejadian, motosikal berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke lorong tengah.
“Lalu datang sebuah lori jenis Nissan berwarna biru dari lorong berkenaan dan tidak sempat mengelak dan terus melanggar bahagian hadapan motosikal terbabit.
“Akibat daripada pelanggaran tersebut, warga emas itu terjatuh di permukaan jalan dan mengalami kecederaan di bahagian badan. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, bagaimanapun pemandu lori berusia 50-an berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu lori bekerja di sebuah syarikat swasta. Kesemua mangsa mempunyai lesen memandu yang sah. Polis menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Sekiranya mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta hubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mazrol Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222,” ujarnya. – UTUSAN










