Pertumbuhan sektor automotif diunjur perlahan tahun ini

Pertumbuhan sektor automotif diunjur perlahan tahun ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor automotif tempatan dijangka tumbuh lebih perlahan tahun ini, walaupun terdapat peningkatan sementara dalam jualan kenderaan pada bulan-bulan tertentu, menurut CGS International (CGSI).

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya menjangkakan Mei hingga Jun 2026 akan mencatatkan jualan yang lebih lemah berikutan jumlah hari bekerja yang lebih sedikit serta permintaan bermusim yang menurun selepas musim perayaan.

“Jumlah keseluruhan industri (TIV) pada April 2026 mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak 17 peratus tahun ke tahun, namun prestasi ini lebih banyak didorong oleh faktor sementara seperti penghantaran selepas musim perayaan.

“Situasi itu tidak mencerminkan trend sebenar jangka panjang, kerana asas perbandingan tahun sebelumnya yang tinggi serta keadaan ekonomi yang lebih mencabar dijangka menekan permintaan pada separuh kedua 2026.

“Walaupun permintaan kenderaan elektrik (EV) menunjukkan pertumbuhan luar biasa, ia masih belum cukup untuk mengimbangi kelembapan keseluruhan pasaran kereta konvensional,” katanya dalam nota penyelidikan.

Selain itu, tekanan kos sara hidup yang masih tinggi serta ketidaktentuan harga bahan api dijangka memberi kesan kepada sentimen pengguna, sekali gus mengurangkan keinginan membeli kenderaan baharu dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, CGSI mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2026 pada 755,000 unit iaitu penurunan sekitar lapan peratus berbanding tahun sebelumnya, menandakan jangkaan pasaran yang lebih konservatif.

“Walaupun begitu, sektor automotif tidak dilihat sebagai lemah sepenuhnya, sebaliknya berada dalam fasa penstabilan selepas tempoh pertumbuhan yang kukuh pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Dari segi struktur pasaran, CGSI berkata, melihat pertumbuhan EV sebagai pemacu utama industri, dengan jualan kenderaan elektrik meningkat lebih 200 peratus tahun ke tahun, didorong oleh kemasukan jenama seperti BYD dan Chery serta pelancaran model baharu oleh Proton.

“Namun begitu, peralihan ini masih berada di peringkat awal dan belum cukup besar untuk mengubah keseluruhan arah sektor automotif dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam masa sama, dasar kerajaan seperti kemungkinan rasionalisasi subsidi bahan api (BUDI95) dan peraturan baharu berkaitan import EV dijangka memberi kesan bercampur, dengan manfaat kepada EV tempatan tetapi tekanan kepada model import.

“Pelabur perlu berhati-hati kerana walaupun terdapat peluang dalam segmen EV dan kereta mampu milik, cabaran jangka pendek masih wujud dari segi permintaan keseluruhan.

“Antara syarikat utama yang diberi perhatian ialah Sime Darby yang dilihat sebagai penerima manfaat utama daripada peralihan kepada EV serta segmen kereta mampu milik melalui pegangan dalam Perodua.

“Bermaz Auto juga diberi perhatian, tetapi hanya pada tahap saranan ‘pegang’ kerana walaupun jualan Mazda sedang pulih, syarikat ini masih berdepan persaingan kuat daripada kereta elektrik (EV) dari China,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN