Inisiatif AI at Work 2.0 bantu penjawat awam percepat urusan kerja harian

Inisiatif AI at Work 2.0 bantu penjawat awam percepat urusan kerja harian

NGA Kor Ming ketika berucap di Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2025 di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa menguasai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penggunaan teknologi baharu termasuk AI penting dalam memastikan sektor perkhidmatan awam kekal cekap, inovatif dan berdaya saing.

Katanya, kerajaan turut melaksanakan inisiatif AI at Work 2.0 yang membolehkan penjawat awam mengakses Google Workspace dengan Gemini bagi membantu mempercepatkan urusan kerja harian.

“Dengan memanfaatkan alat seperti Gemini, pegawai kerajaan dapat menjana laporan, merumuskan dokumen serta menganalisis data dengan lebih pantas, cepat dan tepat.

“Ini bukan sahaja mengurangkan beban kerja manual, malah membolehkan penjawat awam memberi lebih tumpuan kepada tugasan strategik dan penyelesaian isu rakyat secara lebih berkesan,” katanya ketika berucap di Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2025 di sini, hari ini.

Menurutnya, transformasi digital bukan lagi satu pilihan, sebaliknya telah menjadi satu keperluan dalam mendepani dunia yang semakin kompleks dan mencabar.

Sehubungan itu, katanya, semua warga KPKT perlu meningkatkan kemahiran serta menguasai teknologi baharu supaya mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan.

“Saya mencadangkan agar kita mengkaji semula serta menambah baik sistem sedia ada dengan memberikan fokus kepada transformasi digital dan juga sistem
integrasi supaya kita kekal berdaya saing,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN