MITI perkenal langkah sokongan bantu PKS hadapi krisis global - Utusan Malaysia

MITI perkenal langkah sokongan bantu PKS hadapi krisis global

SIM Tze Tzin (tengah) bersama Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Datuk Nurbayu Kasim Chang, Datuk Nurbayu Kasim Chang (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDF, Azizi Mustafa (kiri) dalam sidang media Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperkenalkan langkah sokongan kewangan bagi membantu industri tempatan menghadapi cabaran krisis bekalan global dan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Timbalan Menteri MITI, Sim Tze Tzin berkata, ini khususnya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bertujuan mengurangkan tekanan aliran tunai serta menyokong peralihan kepada rantaian bekalan dan sumber tenaga alternatif.

“Langkah itu juga bertujuan melindungi pengeksport daripada ketidaktentuan pasaran antarabangsa yang semakin meningkat, di samping mengekalkan daya saing dan daya tahan industri tempatan.

“Setakat yang kami faham, pemain industri memaklumkan bahawa kos logistik telah meningkat sehingga 50 peratus.

Secara purata, kos meningkat sekitar lima hingga 15 peratus.

“Namun, kerajaan memahami cabaran ini dan disebabkan itu MITI telah menyelaraskan semua inisiatif yang ada dan mengumumkannya secara bersama supaya PKS tahu bahawa kami tidak mengetepikan mereka,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut beliau, antara langkah utama diumumkan adalah pengukuhan pembiayaan hijau menerusi program Sustainable and Green Biz Financing (SGBF) yang dikendalikan oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

“Program itu menawarkan pembiayaan sehingga RM10 juta dengan kadar faedah serendah dua peratus bagi PKS dan lima peratus untuk bukan PKS bagi mempercepat penggunaan teknologi hijau dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS),” katanya.

Tze Tzin berkata, PKS yang layak boleh memperoleh kelulusan pembiayaan dalam tempoh dua hari bagi mempercepat peralihan kepada sumber tenaga alternatif susulan peningkatan kos elektrik dan keperluan mengurangkan pelepasan karbon.

Dalam usaha memperkukuh sektor eksport negara, Export-Import Bank of Malaysia (EXIM Bank) pula memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk Malaysia Global Connect (MGC) Go Export Cover yang menyediakan insentif 30 peratus ke atas kos caruman takaful sehingga RM25,000.

“Selain itu, Skim Eksport Lonjakan (ExL) bernilai RM500 juta diperkenalkan dengan subsidi kadar keuntungan tahunan satu peratus sehingga tujuh tahun bagi membantu syarikat tempatan memperluas keupayaan di pasaran antarabangsa.

“EXIM Bank juga menyediakan perlindungan rentas sempadan menerusi polisi Takaful Kredit Perdagangan dan insurans komprehensif untuk melindungi pengeksport daripada risiko kegagalan pembayaran, insolvensi dan gangguan politik,” katanya.

Bagi menangani tekanan aliran tunai akibat gangguan rantaian bekalan, MITI turut mengaktifkan Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF) bernilai RM5 bilion yang menawarkan modal kerja pada kadar sehingga 3.75 peratus setahun tanpa cagaran kepada PKS yang berdaya maju.

Pada masa sama, pelanggan MIDF yang terjejas akibat krisis Asia Barat boleh memohon moratorium atau penstrukturan semula pembiayaan sehingga 12 bulan termasuk penukaran kemudahan pusingan kepada pembiayaan berjangka.

BPMB Group turut menawarkan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan segmen PKS yang terkesan oleh konflik Amerika Syarikat-Iran melibatkan pembiayaan berjangka, kemudahan pusingan dan kemudahan perdagangan.

MITI berkata, pelbagai lagi pakej sokongan akan terus disediakan melalui MIDF, EXIM Bank dan agensi berkaitan bagi memastikan industri Malaysia kekal kompetitif serta mampu menghadapi cabaran ekonomi global semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN