KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) memperkukuhkan jaringan penyelidikan antarabangsa dalam bidang bahan termaju dan kimia melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama Synchrotron Light Research Institute (SLRI) yang mengendalikan fasiliti penyelidikan bertaraf dunia, Siam Photon Laboratory di Korat, Thailand,
Serahan dokumen MoU tersebut disempurnakan Pengarah SLRI, Prof Madya Dr Saroj Rujiwat manakala Unimap diwakili oleh Ketua Kumpulan Penyelidikan Pembungkusan Elektronik dan Filem Nipis Unimap, Prof Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh selaku pegawai penyelia perjanjian kerjasama ini.
Majlis pertukaran dokumen itu turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia, Prof Madya Ir Dr Juyana A Wahab, Ketua Centre of Excellence Geopolymer and Green Technology, Prof Madya Dr Dewi Suriyani Che Halin serta penyelidik Unimap, Prof Madya Dr Khairul Anwar Abdul Halim.
Fasiliti synchrotron light di SLRI merupakan kemudahan penyelidikan berasaskan teknologi pemecut zarah yang menghasilkan cahaya synchrotron berintensiti tinggi bagi tujuan pencirian dan analisis bahan secara terperinci dalam pelbagai bidang penyelidikan Sains, Kejuruteraan dan Teknologi.
Naib Canselor Unimap, Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, kolaborasi strategik bersama SLRI dan fasiliti Siam Photon Laboratory itu menjadi platform penting dalam memperkasakan budaya penyelidikan berimpak tinggi di Unimap, khususnya dalam bidang bahan termaju dan teknologi kimia.
“Kerjasama bersama SLRI membuka peluang besar kepada penyelidik dan pelajar Unimap untuk mengakses fasiliti penyelidikan bertaraf dunia yang mampu menghasilkan dapatan penyelidikan lebih berkualiti, kompetitif dan memberi impak kepada industri serta masyarakat.
“Kolaborasi ini juga mencerminkan komitmen Unimap dalam memperluaskan jaringan penyelidikan antarabangsa serta memperkukuh ekosistem inovasi universiti,” katanya.
Beliau berkata, hubungan penyelidikan antara Unimap dan SLRI sebenarnya telah bermula sejak tahun 2016 dan terus berkembang sehingga kini menerusi pelbagai projek penyelidikan bahan dan kimia.
“Antara bidang penyelidikan yang telah dijalankan di SLRI melibatkan bahan pembungkusan elektronik, penyelidikan filem nipis, pembangunan aloi, bahan geopolymer serta polimer termaju menggunakan fasiliti pencirian dan analisis berteknologi tinggi yang terdapat di institut tersebut.
“Selain melibatkan penyelidik dan staf akademik Unimap, penyelidikan di SLRI turut disertai oleh pelajar siswazah universiti itu yang berpeluang menjalankan kajian menggunakan fasiliti penyelidikan termaju bagi meningkatkan kualiti penyelidikan serta pengalaman penyelidikan antarabangsa mereka,” katanya.
Terdahulu, semasa sesi lawatan tersebut, delegasi Unimap turut dibawa melawat fasiliti penyelidikan bahan mikro-elektronik, bahan kejuruteraan termaju serta makmal penyelidikan teknologi makanan yang terdapat di SLRI.
Lawatan itu sekali gus membuka peluang baharu untuk memperluaskan kolaborasi sedia ada dalam pelbagai bidang penyelidikan berteknologi tinggi antara kedua-dua institusi.-UTUSAN










