PISKANITA dan HEPA Unimap perkukuh kerjasama demi kebajikan mahasiswa

PISKANITA dan HEPA Unimap perkukuh kerjasama demi kebajikan mahasiswa

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan bergambar bersama para penyumbang bersempena Majlis Amal Gemilang PISKANITA 2026 di Dewan Ilmu, kampus Alam, Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Dalam usaha memperkasa kesejahteraan mahasiswa secara menyeluruh, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mengambil langkah proaktif dengan memperkukuh jalinan kerjasama strategik bersama Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita Unimap (PISKANITA) demi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara secara inklusif dan mampan.

Komitmen itu dizahirkan me­lalui penganjuran Majlis Amal Gemilang yang berjaya mengumpul dana lebih RM260,000 hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk organisasi dan individu prihatin terhadap kebajikan mahasiswa.

Majlis berlangsung kelmarin diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diiringi Raja Muda Perlis merangkap Canselor Unimap, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang berada di Unimap sempena lawatan kerja rasmi beliau yang turut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh kebajikan mahasiswa.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman dan Naib Canselor Unimap, Datuk Dr. Za­liman Sauli.

Dana yang berjaya dikumpulkan itu akan dimanfaatkan bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan kepada mahasiswa.

Ia termasuk penyediaan komputer riba kepada pelajar asnaf, sokongan operasi pusat terapi kanak-kanak autistik melalui Program A-HEART Unimap, pelaksanaan program gerobok rezeki di kolej kediaman dan penyediaan mesin penapis air bagi meningkatkan kemudahan asas pelajar.

Selain itu, penyaluran sumbangan kepada persatuan dan kelab pelajar bagi menjayakan aktiviti tanggungjawab sosial.

Pengerusi PISKANITA, Datin Azliza Ahmad berkata, sumbangan yang diterima itu mencerminkan keprihatinan tinggi ma­syarakat terhadap kebajikan pe­­lajar selain menyatakan komitmen berterusan PISKANITA untuk melaksanakan lebih 50 program kebajikan sepanjang tahun ini yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan mahasiswa.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimap, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan PISKANITA dalam membantu memperkasa kebajikan pelajar.

Beliau turut menyifatkan ker­ja­sama erat tersebut sebagai manifestasi komitmen bersama dalam memastikan kesejahteraan mahasiswa sentiasa terpelihara dan selari dengan aspirasi KPT.

“Kerjasama antara PISKANITA dan pengurusan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Unimap itu bukan sahaja memperkukuh ekosistem sokongan pelajar, malah menyokong aspirasi nasional dalam membina kesejahteraan mahasiswa secara holistik, selari dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN