MCMC keluar tuntutan statutori kepada TikTok, gagal turunkan kandungan jelik

MCMC keluar tuntutan statutori kepada TikTok, gagal turunkan kandungan jelik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap TikTok kerana gagal bertindak dalam tempoh munasabah untuk menyekat dan menurunkan kandungan jelik, melampau, palsu, mengancam, serta akaun palsu yang ditujukan terhadap Institusi Diraja.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu dibuat susulan penularan kandungan dikaitkan dengan satu akaun yang kononnya berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Katanya, kandungan berkenaan mengandungi kenyataan jelik melampau, palsu, mengancam dan bersifat menghina, dan juga kandungan video yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta imej yang dimanipulasi.

“Ia bukan sahaja berkemungkinan melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), tetapi juga undang-undang jenayah lain di Malaysia.

“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan yang jelik melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“Perkara ini tergolong dalam konteks 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) yang amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap Institusi Perlembagaan,” katanya hari ini.

MCMC berkata, walaupun makluman dan libat urus terdahulu telah dilaksanakan, respons TikTok dalam menangani kandungan tersebut didapati tidak memuaskan, khususnya dalam memastikan penurunan kandungan dilakukan dengan segera serta menghalang penyebaran lanjut kandungan memudaratkan.

“Sebagai platform yang menyediakan perkhidmatan media sosial di Malaysia, pemberi perkhidmatan mempunyai tahap tanggungjawab yang lebih tinggi dalam memastikan perkhidmatan mereka tidak dieksploitasi bagi aktiviti-aktiviti yang memudaratkan dan menyalahi undang-undang.

“Pengeluaran Tuntutan Statutori ini menghendaki TikTok melaksanakan langkah pembetulan segera, termasuk memperkukuhkan mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, TikTok juga dikehendaki untuk memastikan penguatkuasaan lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform.

Katanya, TikTok juga dikehendaki memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan mudarat tersebut.

“MCMC menegaskan bahawa ia akan terus mengambil tindakan kawal selia yang perlu dan setimpal dalam bidang kuasanya, termasuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya wajar, bagi menangani penyalahgunaan platform dalam talian.

“Pemberi perkhidmatan media sosial harus bertindak secara bertanggungjawab dan pantas dalam menangani kandungan yang menyalahi undang-undang, memudaratkan atau mengancam ketenteraman awam, khususnya dalam perkara yang menyentuh sensitiviti 3R,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN