SHAH ALAM: Polis mengesahkan kemalangan maut yang berlaku di Persiaran Mokhtar Dahari di sini, semalam berpunca daripada Perodua Kancil yang memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Axia.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Ramsay Embol berkata Perodua Kancil yang dipandu lelaki berusia 21 tahun itu dalam perjalanan ke arah Puncak Alam.
“Siasatan mendapati kemalangan maut itu berlaku apabila kereta Perodua Kancil yang dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu melanggar sebuah kereta yang juga dipandu oleh seorang lelaki.
“Akibat daripada kejadian tersebut, kedua-dua pemandu tersepit dalam kenderaan masing-masing dan dibawa keluar oleh pasukan bomba. Kedua-dua pemandu yang terlibat kemudiannya disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau menambah, kedua-dua mayat di bawa ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk proses bedah siasat yang dilakukan pagi ini.
“Sementara kes pula disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu bolehlah tampil ke kehadapan memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354,” ujarnya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan dua lelaki menemui ajal selepas kereta yang dipandu masing-masing iaitu Perodua Kancil dan Axia bertembung dekat Persiaran Mokhtar Dahari di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kedua-dua mangsa tersepit di bahagian pemandu akibat kemalangan tersebut.
Menurutnya, bomba menerima panggilan pada pukul 1.50 tengah hari sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong ke lokasi kejadian. – UTUSAN










