Perniagaan perlu tukar strategi hadapi cabaran ekonomi baharu - Utusan Malaysia

Perniagaan perlu tukar strategi hadapi cabaran ekonomi baharu

BEKAS Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz semasa berucap di Forum Perniagaan FLUX 2026 di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengubah strategi perniagaan dan mempermudah urusan kerja dengan kadar segera bagi membina daya tahan ekonomi yang kuat dalam mendepani cabaran dunia hari ini.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, landskap pasaran global tidak lagi membenarkan mana-mana organisasi untuk berevolusi secara perlahan berikutan rentak gangguan rantaian bekalan kini berlaku pada kadar yang amat drastik.

Katanya, impak krisis bekalan tenaga dan logistik susulan ketegangan di Asia Barat sejak Mac lalu dijangka menguji pasaran domestik dalam tempoh terdekat apabila kesan kekurangan bahan mentah mula memberi tekanan kepada sektor pengeluaran.

“Kita sedang beroperasi dalam tempoh ketidaktentuan yang amat tinggi dan berterusan. Ketidaktentuan ini harus dijadikan sebagai rukun perniagaan kerana ia telah menjadi sebahagian daripada normal baharu untuk hari esok.

“Sebab itu, kita tidak boleh lagi bertindak hanya selepas krisis berlaku. Sebaliknya, model perniagaan perlu lebih fleksibel dan mudah diubah suai mengikut keadaan semasa bagi mengelakkan kerugian besar,” katanya semasa berucap di Forum Perniagaan FLUX 2026 di sini, hari ini.

Mengimbas kembali Krisis Kewangan Asia yang berlaku hampir 30 tahun lalu, Zeti berkata, Malaysia dan ekonomi serantau berjaya bangkit dengan kuat kerana pengurusan yang anjal serta disokong oleh institusi kewangan yang kukuh.

Bagaimanapun, katanya, cabaran hari ini memerlukan tindakan yang jauh lebih cepat kerana rentak perubahan global kini bergerak berganda lebih pantas berbanding dahulu.

“Bagi mengelakkan risiko kenaikan harga barangan dalam jangka panjang,  sistem pengurusan sedia ada yang terlalu rumit dan undang-undang lapuk disemak semula bagi mengelakkan kelewatan membuat keputusan penting sewaktu krisis.

“Di samping itu, syarikat tempatan dituntut untuk menjadi lebih kompak dengan beralih kepada keputusan berasaskan data melalui pemanfaatan analitik masa nyata bagi mengesan kelambatan logistik dan mengurangkan pembaziran,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pelaburan agresif dalam modal insan melalui institusi pendidikan tempatan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selain melonggarkan syarat kemasukan pakar khusus dari luar negara.

“Sebab itu, pada pandangan saya, kementerian yang paling penting sebenarnya adalah kementerian pendidikan kerana ia menjadi penggerak utama kepada potensi ekonomi kita pada masa hadapan.

“Matlamat kita bukan sahaja untuk keluar daripada gangguan ekonomi ini dengan kos yang paling minimum, tetapi juga untuk beralih ke persekitaran baharu yang pantas berubah dengan kebolehan menyesuaikan diri demi memastikan kelangsungan prestasi ekonomi yang mampan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zeti menyokong penuh cadangan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) untuk menubuhkan segera Pasukan Petugas Khas Tindak Balas Krisis Pembuatan dan Eksport yang dianggotai bersama oleh pihak kerajaan dan swasta.

Langkah awal ini sangat penting bagi memastikan peningkatan kos perniagaan dapat dipantau rapat sebelum ia memberi kesan yang lebih buruk kepada ekonomi negara dan pengguna. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN