Lombong haram, Kelantan tidak akan berkompromi

Lombong haram, Kelantan tidak akan berkompromi

KEADAAN lokasi kejadian yang meragut nyawa dua individu semasa melombong emas di kawasan Ladang Sawit Jerimbong, Kuala Balah, Jeli, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengambilan hasil bumi tanpa lesen atau haram di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, individu atau pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan Enakmen Mineral Negeri Kelantan serta undang-undang berkaitan.

Katanya, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh agensi penguat kuasa berkaitan di kawasan pedalaman yang dikenal pasti termasuk sekitar Jeli.

“Operasi pemantauan, risikan dan tindakan lapangan terus dipertingkatkan bagi memastikan kegiatan pencerobohan hasil bumi dapat dibendung secara lebih tegas dan berkesan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 38 tahun ketika menjalankan aktiviti perlombongan emas di kawasan Ladang Sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah, Jeli hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri amat dukacita dan kesal dengan tragedi tersebut yang disifatkan sebagai bukti jelas bahawa perlombongan haram.

Katanya, ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengundang risiko besar terhadap nyawa, keselamatan dan kelestarian alam sekitar.

“Semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi serta syarat keselamatan selain mendapatkan permit dan kelulusan sah sebelum menjalankan sebarang aktiviti perlombongan.

“Keghairahan mencari keuntungan tidak boleh mengatasi soal keselamatan nyawa dan pematuhan undang-undang,” ujarnya.

Terdahulu, dua lelaki dilaporkan maut tertimbus di dalam lubang yang digali mereka dipercayai untuk melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong.

Seorang lagi mangsa terselamat dalam kejadian pukul 8.20 malam itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN