Menerusi hantaran di platform Threads, Adam atau nama sebenarnya Nor Shah Azli Abdol Ghani berkata, perjuangannya selama beberapa tahun untuk menuntut hak sebagai seorang bapa akhirnya membuahkan hasil apabila diberikan hak melawat serta bermalam bersama anaknya.
“Alhamdulillah, dengan izin-Nya. Setelah beberapa tahun turun naik mahkamah, akhirnya saya dapat menuntut hak saya sebagai ayah.
“Hak melawat dan bermalam,” katanya.
Bagaimanapun, pelakon itu memaklumkan permohonannya untuk mendapatkan pindaan hak penjagaan penuh terhadap anaknya tidak dipersetujui pihak defendan.
Meskipun begitu, Adam tetap menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan reda dengan ketentuan yang ditetapkan.
“Walaupun pada mulanya saya kemukakan pindaan untuk memberi sepenuhnya hak jagaan anak tidak dipersetujui pihak defendan.
“Terima kasih Allah,” ujarnya lagi.
Terdahulu, bekas isterinya, Fatin Afeefa memaklumkan hak penjagaan penuh terhadap Ivy kekal diberikan kepadanya selaku ibu kandung.
Untuk rekod, Adam dan Fatin mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2013 sebelum bercerai pada 30 Mei 2017. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ivy Herra Sophia.










