Pihak berkuasa Hormuz Iran dakwa kawal perairan selatan pelabuhan UAE

Pihak berkuasa Hormuz Iran dakwa kawal perairan selatan pelabuhan UAE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Badan baharu Iran yang menyelia Selat Hormuz mendakwa kawasan kawalannya meliputi perairan di selatan pelabuhan Fujairah di Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menempatkan infrastruktur minyak bagi memintas laluan strategik itu.

Laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, antara saluran perdagangan laut paling penting dunia berada di bawah kawalan Iran sejak perang dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) tercetus pada 28 Februari lalu.

Iran yang secara efektif menutup selat itu sejak perang bermula dan berusaha mengenakan bayaran terhadap kapal yang melaluinya, menegaskan semua kapal yang melalui perairan berkenaan perlu mendapatkan kebenaran daripada angkatan tentera Iran.

Dalam hantaran di platform X pada Rabu yang disertakan peta, Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi berkata, pihaknya telah menetapkan ‘bidang kuasa kawal selia’ bagi pengurusan selat itu.

Menurutnya, kawasan berkenaan meliputi laluan antara Kuh-e Mubarak di Iran hingga ke selatan Fujairah di UAE sehingga garisan yang menghubungkan hujung Pulau Qeshm di Iran dengan Umm Al-Quwain di UAE.

Badan itu menambah bahawa sebarang transit melalui kawasan ini untuk tujuan melintasi Selat Hormuz memerlukan penyelarasan dan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi.

Hubungan Iran dan UAE semakin tegang sejak perang tercetus selepas Teheran melancarkan serangan balas peluru berpandu dan dron terhadap negara Teluk susulan serangan AS-Israel.

Iran minggu lalu menuduh UAE memainkan peranan aktif dalam perang itu, dakwaan yang dinafikan Abu Dhabi.

UAE juga menentang keras kawalan Iran ke atas Selat Hormuz dan menggesa tindakan bersama bagi memastikan kebebasan pelayaran di laluan berkenaan.

Pada Jumaat lalu, UAE mengumumkan ia mempercepat pembinaan saluran paip minyak baharu yang memintas Selat Hormuz melalui pelabuhan Fujairah.

Pejabat Media Abu Dhabi berkata, saluran paip Barat-Timur itu akan menggandakan kapasiti eksport syarikat minyak negara ADNOC melalui Fujairah dan dijangka mula beroperasi tahun depan.

Iran berulang kali menuduh negara Teluk membenarkan tentera AS melancarkan serangan dari wilayah mereka.

Negara Teluk bagaimanapun berulang kali menafikan dakwaan itu dan menegaskan mereka tidak akan membenarkan wilayah atau ruang udara digunakan untuk menyerang Iran.

Pada Rabu, Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata, mereka membenarkan 26 kapal termasuk kapal tangki minyak dan kapal lain melalui Selat Hormuz dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Minggu lalu, Iran berkata, lebih 30 kapal dibenarkan melalui selat itu termasuk beberapa kapal China.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN