Permohonan Najib tangguh bayar AS$1.3 bilion diputus 13 Mei

Permohonan Najib tangguh bayar AS$1.3 bilion diputus 13 Mei

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 13 Mei ini bagi menyampaikan keputusan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman mahkamah yang memerintahkannya membayar AS$1.3 bilion kepada SRC International Sdn. Bhd.

Hakim, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin turut menetapkan tarikh sama bagi keputusan mengenai kos selepas memaklumkan terdapat hujahan bertulis tambahan yang masih perlu diteliti.

Pada 31 Mac lalu, mahkamah memerintahkan Najib membayar AS$1.3 bilion kepada SRC selepas mendapati beliau bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami syarikat berkenaan.

Dalam penghakimannya pada tarikh itu, Hakim Ahmad Fairuz yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan berkata, mahkamah mendapati Najib telah menyalahgunakan jawatannya, sekali gus membolehkan SRC memperoleh pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWAP) di bawah jaminan kerajaan.

Najib kemudian memfailkan notis rayuan pada 8 April lalu, diikuti permohonan penangguhan pelaksanaan penghakiman pada 9 April lalu sementara menunggu rayuan didengar dan diputuskan.

Terdahulu, peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee menghujahkan bahawa jumlah AS$1.3 bilion atau kira-kira RM5.47 bilion yang diperintahkan dibayar kepada SRC merupakan satu nilai terbesar pernah dikenakan terhadap seorang individu di negara ini dalam kes saman sivil.

Hujahnya, jumlah luar biasa itu menjadikan kes berkenaan unik dan tidak boleh disamakan dengan kes lain, terutamanya selepas mengambil kira kedudukan SRC yang kini sudah digulungkan.

Menurut Muhammad Farhan, akaun kewangan syarikat itu juga sudah lama tidak dikemas kini dan keadaan tersebut menimbulkan persoalan sama ada SRC mampu memulangkan semula wang berkenaan sekiranya rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu berjaya.

Hujahnya, sekiranya penghakiman itu dilaksanakan serta-merta, rayuan Najib berkemungkinan menjadi sia-sia kerana SRC boleh mengambil langkah penguatkuasaan lain termasuk memulakan prosiding kebankrapan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

“Selain penghakiman dalam kes SRC, Najib turut berdepan beberapa liabiliti lain termasuk penalti jenayah, liabiliti cukai dan saman sivil berkaitan 1MDB yang keseluruhannya boleh mencecah puluhan bilion ringgit.

“Keseluruhan pendedahan kewangan defendan pertama (Najib), termasuk penghakiman ini, adalah sekitar RM48.2 bilion. Jumlah tersebut sangat besar sehingga melebihi bajet tahunan bagi Kementerian Pertahanan,” hujahnya ketika prosiding yang dijalankan menerusi aplikasi Zoom.

Sementara itu, peguam SRC International, P. Gananathan menghujahkan, permohonan Najib wajar ditolak kerana beliau gagal membuktikan wujudnya satu keadaan khas bagi menangguhkan pelaksanaan penghakiman tersebut.

Hujahnya, alasan seperti jumlah penghakiman yang besar atau kemungkinan bekas Perdana Menteri itu berdepan kesukaran kewangan tidak mencukupi untuk memenuhi syarat berkenaan.

Ujar Gananathan, masalah aliran tunai, kedudukan kewangan terjejas atau keperluan menjual aset juga bukan satu perkara luar biasa apabila seseorang diperintahkan membayar wang dalam jumlah tertentu.

“Jika jumlah sesuatu penghakiman wang sahaja sudah memadai untuk membenarkan penangguhan, maka setiap penghakiman bernilai besar akan membawa kepada penangguhan pelaksanaan secara automatik,” hujahnya.

Gananathan turut menyatakan, status Najib sebagai bekas Perdana Menteri atau sebarang kesan terhadap reputasi dan integriti peribadinya tidak relevan dalam permohonan tersebut.

“Kesan buruk terhadap reputasi merupakan akibat biasa dalam sesuatu litigasi dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan penghakiman.

“Semua pihak adalah sama di sisi undang-undang dan tiada sesiapa yang lebih istimewa di sisi undang-undang,” hujahnya.

Mengulas mengenai status SRC yang kini digulungkan, Gananathan berhujah, penggulungan syarikat itu bukan dibuat atas permohonan pemiutang berhubung dakwaan insolvensi.

“Ini bukan kes di mana pemiutang memohon untuk menggulungkan SRC atas alasan insolvensi. SRC digulungkan melalui resolusi pemegang saham bagi membolehkan proses pemulihan aset dikendalikan oleh pakar insolvensi dan pemulihan aset.,” hujahnya.

Gananathan berhujah, kebimbangan pihak Najib bahawa wang penghakiman itu tidak dapat dipulangkan sekiranya rayuan berjaya sudah dijawab melalui akujanji daripada MOF Inc.

Hujahnya, akujanji itu antara lain menyatakan kesediaan MOF Inc. untuk memulangkan wang berkenaan atau memastikan wang tersebut diurus tertakluk kepada keputusan akhir rayuan.

“Tiada kebimbangan bahawa wang itu tidak dapat dipulangkan. Kita bercakap mengenai Kerajaan Malaysia dan MOF Inc.,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN