PETALING JAYA: SD Guthrie Berhad (Guthrie) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM560 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, sedikit rendah berbanding RM567 juta setahun sebelumnya.
Hasil jatuh 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM4.69 bilion, berbanding RM4.82 bilion pada suku sama tahun lepas.
Pengerusi SD Guthrie, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, portfolio perniagaan kumpulan yang pelbagai telah membolehkan syarikat memberikan prestasi berdaya tahan sebagai permulaan tahun yang baik di sebalik konflik yang berterusan di Asia Barat.
“Kepimpinan baharu kumpulan menawarkan kestabilan dalam latar belakang makroekonomi yang mencabar dan akan terus membawa momentum baharu bagi memacu cita-cita pertumbuhan syarikat,” katanya dalam kenyataan.
Bagi tempoh tiga bulan pertama tersebut, segmen Hiliran melalui SD Guthrie International (SDGI) menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dengan peningkatan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak 43 peratus kepada RM109 juta.
Peningkatan ini didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi serta pemulihan margin yang positif di operasi Asia Pasifik dan Eropah, selain sumbangan kukuh daripada usaha sama.
Segmen Huluan pula merekodkan PBIT sebanyak RM529 juta, walaupun terkesan oleh penurunan harga realisasi minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 10 peratus dan isirung sawit (PK) sebanyak lapan peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Selain itu, segmen Pembangunan Perindustrian menyumbang RM160 juta kepada PBIT hasil daripada penjualan tanah kepada pihak ketiga.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, Guthrie akan terus fokus kepada faktor kawalan dalaman termasuk produktiviti, kualiti dan pengurusan kos bagi mengekalkan prestasi cemerlang tahun lalu.
“Walaupun keadaan pasaran sukar diramal, Guthrie berada pada kedudukan yang baik untuk melangkah ke hadapan dengan keyakinan berdasarkan kunci kira-kira yang kukuh dan pelaksanaan strategi yang berkesan,” katanya.
Mengenai prospek bagi tahun kewangan 2026, harga MSM dijangka kekal mendapat sokongan dalam tempoh terdekat susulan risiko bekalan berkaitan cuaca dan konflik di Timur Tengah.
Walau bagaimanapun, Guthrie kekal berwaspada memandangkan penutupan Selat Hormuz telah mengganggu rantaian bekalan global, sekali gus meningkatkan harga tenaga, baja dan kos logistik. – UTUSAN










