Permaisuri Agong namakan LMSB2 pertama TLDM, Kapal Tunku Laksamana Abdul Jalil - Utusan Malaysia

Permaisuri Agong namakan LMSB2 pertama TLDM, Kapal Tunku Laksamana Abdul Jalil

Raja Zarith Sofiah diiringi Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim dan Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim berangkat ke upacara penamaan dan pelancaran Kapal Tunku Laksamana Abdul Jalil di Turkiye.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dinamakan Tunku Laksamana Abdul Jalil sebagai tanda penghormatan kepada Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim bagi mengabadikan keberanian, ketabahan dan semangat juang baginda.

Upacara penamaan dan pe­lancaran kapal itu disempurnakan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dengan simbolik pelancarannya dilakukan menerusi pelepasan satu kendi mengandungi air zamzam yang dibacakan surah Yasin ke din­ding haluan kapal di Istanbul Shipyard, Turkiye.

Kapal berkenaan berasaskan reka bentuk korvet ‘ADA Class’ dibina oleh syarikat kejurute­raan maritim STM di Istanbul dan merupakan aset tempur terkini TLDM untuk operasi pelbagai dimensi.

Raja Zarith Sofiah bertitah, pelancaran Kapal KD Tunku Laksamana Abdul Jalil juga membuka lembaran baharu dalam persahabatan lama antara Johor dan Turkiye, yang terjalin sejak 1860 ketika pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar.

“Penamaan kapal ini dengan nama Jalil membawa makna yang besar kepada keluarga kami, buat saya dan suami selaku ibu bapa serta anak-anak kami selaku adik beradik almarhum. Ia satu penghormatan yang amat kami hargai.

“Semoga kapal ini diberkati dan semua yang berlayar di atasnya akan sentiasa selamat dan dalam perlindungan,” titah baginda.

Baginda bertitah, pembinaan LMSB2 ini juga menunjukkan kerjasama strategik yang berkesan antara Malaysia dan Turkiye, terutamanya dalam aspek pemindahan teknologi.

Keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong disambut oleh Timbalan Menteri Pertahanan Turkiye, Musa Heybet dan Timbalan Setiausaha Perindustrian Perancangan Strategik, Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye, Prof. Ihsan Kaya.

Turut berangkat Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN