PEKAN kecil Fenglin di Taiwan semakin dikenali sebagai tempat di mana kehidupan bergerak perlahan dan penduduknya dapat menikmati suasana yang lebih tenang.
Daripada melawan rentak kehidupan itu, pekan yang mempunyai sekitar 10,000 penduduk tersebut memilih untuk menjadikannya sebahagian daripada identiti mereka menerusi perlumbaan siput.
Fenglin menganjurkan perlumbaan siput sebagai simbol gaya hidup perlahan dan lestari yang menitikberatkan kesihatan, umur panjang serta hubungan komuniti, selain usaha menarik semula pelancong selepas gempa bumi kuat pada 2024 menjejaskan industri pelancongan di kawasan sekitarnya.
“Gempa bumi dua tahun lalu memberi kesan agak besar kepada pelancongan kerana orang ramai bimbang gempa mungkin berlaku lagi,” kata penduduk tempatan berusia 32 tahun, Hsu Lu kepada AP.
Menurutnya, ramai penduduk meninggalkan Hualien, daerah sekitar Fenglin yang kerap dilanda gempa bumi.

Siput menjadi salah satu cara untuk membawa pelancong kembali, walaupun secara perlahan.
Fenglin mula dikaitkan dengan simbol siput sejak 2014 apabila ia menyertai rangkaian antarabangsa Cittaslow, iaitu gabungan bandar kecil yang menekankan kualiti hidup dan makanan tempatan.
Simbol organisasi itu adalah seekor siput yang membawa bangunan di atas cangkerangnya.
Gelaran ‘bandar perlahan’ itu dilihat sesuai dengan Fenglin selepas populasinya menyusut hampir tiga kali ganda dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Lebih 20 peratus penduduknya kini berusia lebih 65 tahun, menjadikannya sebahagian daripada masyarakat ‘super tua’ Taiwan.
Bagi menghidupkan semula sektor pelancongan selepas gempa bumi April 2024 yang mengorbankan 19 orang dan mencederakan lebih 1,100 mangsa, penduduk Fenglin memutuskan untuk menganjurkan perlumbaan siput pada bulan berikutnya.
“Kami fikir acara ini boleh menarik orang ramai dan sedikit sebanyak membantu,” kata penganjur, Cheng Jen-shou.
Tahun ini, perlumbaan itu memasuki edisi ketiga dan diadakan sempena cuti Hari Pekerja.
Puluhan penduduk serta pelancong menghadiri acara berkenaan yang menampilkan enam perlumbaan siput sepanjang dua hari.
Pemenang setiap perlumbaan mara ke peringkat akhir selepas terlebih dahulu diperkenalkan kepada penonton sambil ditarik perlahan di atas papan lapis merentasi hamparan hijau.
Seorang pesara berusia 70 tahun dari Fenglin, Li Cheng-wen, membawa beberapa ekor siput yang ditangkapnya di kebun sayur miliknya.
Daripada membunuh siput tersebut seperti dilakukan sesetengah petani, dia memilih untuk memeliharanya sebagai haiwan peliharaan. Siput-siput itu diberi makan pisang, betik dan daun sayur selain dimandikan setiap hari.
“Biasanya saya pilih siput yang aktif dan sedap dipandang untuk perlumbaan,” katanya.
Pasangan Kevin Hong dan Tiara Lin pula datang dari bandar Kaohsiung bersama anak perempuan mereka yang berusia dua tahun dan seekor siput gergasi Afrika bernama Aquaman.
Mereka pernah mendaftarkan Aquaman untuk perlumbaan pada 2024, namun Tiara tiba-tiba bertelur ketika dalam perjalanan ke Fenglin.
Tahun ini, mereka kembali semula untuk memberi sokongan kepada siput peliharaan mereka.
Walaupun lebih besar berbanding kebanyakan siput tempatan lain, Aquaman bergerak agak perlahan.
Dalam perlumbaan itu, setiap siput diletakkan di tengah meja bulat dan siput pertama yang tiba di tepi meja akan dinobatkan sebagai pemenang.
Juara keseluruhan tahun ini ialah seekor siput bernama Guage atau ‘Brother Snail’ milik Tanya Lin, 39, dari Hualien. Siput itu turut memenangi salah satu perlumbaan pada 2024.
Tahun ini, Brother Snail berjaya menamatkan perlumbaan merentasi meja sepanjang 33 sentimeter dalam masa tiga minit tiga saat, sekali gus membolehkannya menaiki podium kecil dan memenangi hadiah daun keledek organik.
Selain perlumbaan siput, kerajaan tempatan turut cuba menarik pelancong dengan menawarkan lawatan basikal elektrik ke gudang tembakau lama, bangunan era penjajahan Jepun dan muzium komuniti Hakka.
Bagi dua pelajar universiti, Annette Lin dan Tanya Liu, suasana perlahan Fenglin menjadi tarikan tersendiri selepas mereka menaiki kereta api selama kira-kira 30 minit dari Hualien untuk menyaksikan perlumbaan itu.
Mereka menganggap pertandingan tersebut unik dan menikmati rentak santai pekan berkenaan, walaupun hanya untuk sementara. –UTUSAN









