Pembangunan negeri dipacu secara secara menyeluruh: Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Pembangunan negeri dipacu secara secara menyeluruh: Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Ke-83 di Istana Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pembangunan negeri ini akan terus dipacu secara menyeluruh meliputi aspek kebajikan, kesihatan, pendidikan, ekonomi dan prasarana melalui perancangan rapi serta berterusan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, berikutan itu, rakyat diharap dapat terus berdaya saing dan diperkasa dengan mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan.

Titah baginda, aspek tadbir urus berintegriti dengan berteraskan syura juga perlu diterapkan demi kedamaian serta keharmonian bersama.

“Semoga agama terus diperkasa, perpaduan diperkukuh, adat dan adab dijunjung serta nilai murni terus disemai demi masa depan negeri dan umatnya yang lebih sentosa,” titah baginda bersempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ke-83 di Istana Arau di sini hari ini.

Menerusi sambutan itu, Tuanku Syed Faizuddin turut memperbaharui ikrar taat setia seluruh Usrah Diraja Perlis untuk terus berdiri teguh di bawah naungan Raja Perlis dengan kesetiaan tidak berbelah bahagi yang berterusan demi kemakmuran negeri dicintai ini.

Baginda mewakili kerabat yang dianugerahkan darjah kebesaran bersempena sambutan itu turut menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku Syed Sirajuddin dan akan terus berusaha berbakti buat negeri serta warganya.

“Sesungguhnya, negeri Perlis terus dirahmati di bawah naungan Ulil Amri yang berpandukan al-Quran dan As-Sunnah serta menjunjung keadilan dalam pemerintahan,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN