ARAU: Visi menjadikan Perlis ‘Dubai kedua’ bukan sesuatu mustahil untuk direalisasikan sekiranya kerajaan dan rakyat negeri ini terus bekerja keras serta mempunyai kesungguhan membangunkan Perlis secara berterusan.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, visi tersebut adalah matlamat jangka panjang yang tidak mustahil mampu direalisasikan pada masa akan datang.
“Kenyataan mengenai visi besar itu sebelum ini mungkin dilihat terlalu awal dan sukar diterima sesetengah pihak, namun ia merupakan matlamat jangka panjang demi masa depan negeri. Kita lihat ke belakang, Dubai 50 tahun dahulu, tidak ada lagi bangunan tinggi, cuma sekarang ini kita lihat pembangunan lebih pesat di Dubai.
“Dan, kita pun ada peluang itu dengan Perlis Inland Port (PIP) (contohnya). Bagaimanapun ke arah itu, rakyat dan kerajaan mestilah bekerja lebih kuat untuk mencapai visi itu. Peluang
ke arah merealisasikan matlamat itu sudah tersedia, khususnya menerusi pembangunan PIP yang dilihat mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
“Usaha merealisasikan visi itu perlu dimulakan daripada sekarang supaya generasi akan datang dapat meneruskan agenda pembangunan negeri sehingga berjaya dicapai,” titah Tuanku Syed Sirajuddin bersempena Ulang Tahun Keputeraan baginda Ke-83 di Istana Arau di sini hari ini.
Sebelum ini, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan keyakinan Perlis mampu muncul sebagai ‘Dubai kedua’ iaitu pintu gerbang terbuka kepada negara ASEAN berikutan kedudukannya yang strategik bersempadan Thailand.
Baginda bertitah, negeri ini mampu berkembang sebagai pusat dagang, inovasi dan pusat pertemuan ekonomi serantau dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, setiap projek dirancang hendaklah dilaksanakan dengan cekap, dipantau rapi dan disiapkan dalam tempoh munasabah supaya manfaatnya dapat dinikmati tanpa kelewatan.
Titah baginda, setiap perancangan dan perbelanjaan juga perlu dilaksanakan dengan penuh amanah, berhemah, bertanggungjawab dan memberi manfaat jelas kepada rakyat.
“Beta tidak mahu melihat perancangan yang baik hanya kekal di atas kertas tanpa pelaksanaan yang berkesan. Kemajuan sebenar tidak boleh hanya diukur pada apa yang dirancang, tetapi pada apa yang benar-benar dirasai oleh rakyat,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda menyeru semua pihak agar dapat terus memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat khususnya di negeri ini.
Titah baginda, negeri yang dikasihi ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana aman dan harmoni malah kepelbagaian ini juga merupakan kekuatan perlu dipelihara serta diperkukuh.-UTUSAN










