KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan rasa bangga dengan perkembangan pesat industri harumanis Perlis.
Sehingga kini terdapat lebih 2,700 pengusaha dengan keluasan tanaman mencecah 1,800 hektar.
Baginda seterusnya menyeru agar semua pihak termasuk agensi kerajaan, pengusaha dan pemain industri terus mempertingkatkan usaha dalam aspek penanaman, penyelidikan, pemprosesan serta pemasaran agar jenama harumanis Perlis terus diperkasa dan dipelihara keasliannya.
“Beta amat yakin dan percaya, dengan komitmen berterusan dan kerjasama strategik semua pihak, Perlis akan kekal unggul sebagai hab pengeluaran mangga harumanis.
“Seterusnya ia dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Perlis Agrofest 2026 di Sungai Batu Pahat, di sini, semalam.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullalil: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah dan Sharifah Farah Adriana.
Baginda bertitah, penggunaan teknologi dan inovasi dalam sektor pertanian amat penting bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam menguruskan tanaman.
Titah baginda, semua pihak perlu sentiasa terbuka untuk menerima perubahan dan meningkatkan kemahiran agar sektor ini terus relevan serta mampan.
“Kerajaan negeri dan Persekutuan diharap dapat terus memainkan peranan masing-masing dengan memberikan inisiatif-inisiatif berkaitan kepada pemain industri terlibat.
“Ini terutamanya melibatkan insentif bahan api dan lain-lain berikutan kenaikan harga disebabkan krisis di Asia Barat yang mungkin berlarutan,” titah baginda.
Sementara itu, baginda bertitah, penganjuran Perlis Agrofest 2026 bagi memperkasakan sektor pertanian sebagai bidang berpotensi tinggi serta berdaya maju khususnya kepada penduduk di negeri ini.
“Penganjuran Perlis Agrofest 2026 juga merupakan satu bentuk penghargaan yang signifikan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta keselamatan makanan negara,” titah baginda.-UTUSAN










