KANGAR: Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang berlangsung selama setahun dengan pelbagai program diakhiri dengan kenduri rakyat dihadiri lebih 50,000 pengunjung di Dataran Lot 9 Kuala Perlis, di sini semalam.
Menariknya, kenduri rakyat terbesar itu juga diiktiraf dalam Malaysia Book Of Record dengan penyediaan 100 kawah masakan kurma daging Perlis yang dibuat serentak secara gotong-royong, membabitkan 25 ekor lembu.
Selain keunikan pelbagai jenis makanan, pengunjung juga disajikan dengan persembahan artis terkenal, seperti Hetty Koes Endang dan Datuk Hattan serta persembahan orkestra yang dipimpin Datuk Mokhzani Ismail.
Berangkat sama pada kenduri rakyat tersebut, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kenduri rakyat berkenaan bukan sekadar majlis keraian, tetapi bagi meraikan satu pencapaian amat bermakna bagi setiap jiwa rakyat di negeri ini bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis.
Katanya, sepanjang dua dekad tersebut, rakyat telah menyaksikan betapa Raja Perlis bukan sekadar seorang pemerintah tetapi sebagai payung tempat seluruh rakyat berteduh.
“Baginda sebagai nakhoda mengemudi bahtera negeri ini meredah gelombang zaman dengan penuh kebijaksanaan dan saya serta rakyat menzahirkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi daripada seluruh rakyat di bawah naungan pemerintahan baginda.
“Sepanjang pemerintahan, Raja Perlis menekankan bahawa kekuatan sebenar Perlis bukan hanya terletak pada buminya yang subur, tetapi pada intelek dan sahsiah rakyat.
“Semoga pemerintahan Raja Perlis terus kekal berdaulat, membawa lebih banyak kemakmuran dan keberkatan kepada negeri Perlis yang tercinta ini,” katanya.
Sementara itu, Abu Bakar menzahirkan rasa puas hati dengan kejayaan penganjuran kenduri rakyat terbesar bersempena sambutan Jubli Perak itu. – UTUSAN










