KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menekankan kepentingan memperkukuh jaringan kerjasama antara kerajaan negeri dan Pusat bagi mengoptimumkan inisiatif sedia ada demi manfaat rakyat.
Ketika berkenan menerima mengadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan selepas majlis perasmian Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2026 di sini semalam, baginda turut menzahirkan harapan agar gerak kerja penerangan berkaitan industri halal diperluaskan dengan lebih efektif kepada masyarakat.
Baginda turut bertitah agar takrifan ahli sunnah waljamaah (ASWJ) sedia ada di negara ini tidak disempitkan sehingga mengundang perpecahan lebih parah dalam kalangan umat Islam.
“Pendekatan yang terlalu eksklusif dalam mendefinisikan ASWJ dikhuatiri akan mengheret masyarakat ke arah isu sektarian yang mampu menimbulkan kebencian sesama umat sekali gus menggugat keharmonian serta keamanan ummah secara keseluruhannya,” titah baginda.
Mengiringi baginda pada majlis itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Yang hadir sama, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah; Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Sementara itu, Zulkifli memberitahu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi memperkasakan institusi pendidikan agama.
Beliau juga memaklumkan hala tuju pendidikan tahfiz di Perlis serta beberapa inisiatif strategik bagi memperkasakan ekonomi negeri melalui pengurusan ekosistem halal lebih mampan.
“Sesi pertemuan tersebut juga menyentuh mengenai pelaksanaan instrumen perundangan Islam berkaitan keadilan sosial serta pelbagai isu semasa lain yang melibatkan kepentingan dan kebajikan umat Islam di peringkat negeri mahupun nasional,” katanya. – UTUSAN










