Perbelanjaan sektor pendidikan diutamakan, ditambah ikut keperluan semasa - PM - Utusan Malaysia

Perbelanjaan sektor pendidikan diutamakan, ditambah ikut keperluan semasa – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan akan terus memberi tumpuan utama terhadap sektor pendidikan termasuk menyemak semula beberapa keperluan peruntukan bagi memastikan bidang tersebut kekal relevan dan memenuhi tuntutan semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semakan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan perbelanjaan untuk pendidikan disalurkan secara optimum dan ditambah mengikut keperluan.

“Dalam perjumpaan saya bersama Kementerian Kewangan awal minggu ini, kita turut membincangkan soal pendidikan terutama keperluan semasa melibatkan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

“Kita telah memutuskan supaya segala keperluan berkaitan dikaji semula agar dalam Belanjawan tahun ini, kita dapat meningkatkan lagi peruntukan dan kelulusan kepada Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya ketika berucap pada sambutan Majlis Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pada majlis tersebut, Anwar turut menyampaikan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1), selain Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Dr Ahmad Rafee Che Kassim dan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan kepada Abdul Rasid Bakar.

Menurut Anwar, kerajaan komited memastikan kebajikan warga pendidik terus terbela menerusi pelbagai insentif termasuk penyaluran peruntukan tambahan berskala besar di seluruh negara.

Katanya, antara yang diumumkan adalah peruntukan tambahan RM100 juta bagi naik taraf dan penyelenggaraan untuk keseluruhan 7,000 bilik guru di seluruh negara.

“Selain itu, sebanyak RM50 juta lagi diperuntukkan bagi penyelenggaraan 8,700 unit kuarters guru bagi memastikan keselesaan dan keselamatan tempat tinggal mereka terus terjamin.

“Pertambahan bilik guru yang diluluskan oleh kerajaan pula melibatkan sebanyak 3,150 unit dengan bilik guru yang diselenggara setakat ini adalah sebanyak 7,000 buah,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menzahirkan penghargaan kepada guru-guru yang mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa hasil komitmen tinggi dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata, antara contoh membanggakan ialah Muhammad Nazmi Rosli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sebangang, Lawas, Sarawak yang berjaya mengharumkan nama negara walaupun berkhidmat di sekolah pedalaman.

Katanya, guru tersebut tersenarai sebagai Top 10 Finalist Global Teacher Prize 2025 selain pernah menerima anugerah Rise Educator of the Year 2021.

“Selain itu, Dr. Velerie Wheelervon Primus dari SK Bingkor, Keningau turut mencipta kejayaan menerusi pendekatan Neuro Arts yang menggabungkan seni, terapi sensori dan pembelajaran sehingga menerima pengiktirafan Cambridge Dedicated Teacher Awards 2026 bagi rantau Asia Tenggara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN