Peranan Parlimen dalam pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya

Peranan Parlimen dalam pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peranan Parlimen dalam memastikan prinsip pengasingan kuasa menjadi antara pertimbangan utama dalam cadangan pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penglibatan Parlimen dalam proses pelantikan jawatan tertentu penting bagi mewujudkan semak dan imbang tanpa menjejaskan peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, negara yang mengamalkan sistem Westminster seperti United Kingdom, Kanada dan Australia turut memberi ruang kepada Parlimen untuk meneliti dan membahaskan calon yang dicadangkan bagi jawatan penting.

“Ini kerana, mereka percaya Parlimen boleh meneliti, mempersoalkan dan membahaskan calon yang dicadangkan.

“Mereka berpendapat sistem ini lebih baik kerana jika keputusan hanya dibuat oleh pihak kepemimpinan (eksekutif), ada kemungkinan timbul persepsi pelantikan tersebut berat sebelah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan mengenai perkembangan cadangan pemisahan kuasa berkenaan dalam Sesi Perjumpaan Awam (townhall) Kerangka Akauntabiliti Madani di Akademi Perundangan Negara (APN) di Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.

Azalina berkata, dalam mencadangkan nama bagi jawatan tertentu, mungkin hanya individu yang sudah dikenali seperti bekas Hakim atau bekas Ketua Hakim Negara akan dipertimbangkan.

Sebaliknya, katanya, jika Parlimen turut terlibat, lebih banyak nama boleh diketengahkan.

“Sebagai contoh, isu pelantikan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pernah menimbulkan desakan supaya perkara itu dibahaskan di Parlimen. Ramai yang mendesaknya agar berundur. Namun, sistem kita ketika ini tidak membenarkan perkara tersebut.

“Sekarang, seorang bekas hakim pula dilantik (KP SPRM), ada pihak yang mempersoalkan latar belakang individu berkenaan. Di sesetengah negara, penglibatan ahli Parlimen dalam proses ini dilihat sebagai penglibatan rakyat secara tidak langsung melalui wakil rakyat mereka,” katanya.

Azalina berkata, Rang Undang-Undang (RUU) itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) pada 18 Mei ini sebelum ia dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

Mengikut dokumen RUU tersebut, pindaan itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi pelantikan seorang Pendakwa Raya selaras dengan pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara.

Ia juga untuk mengadakan peruntukan lindung jamin bagi Pendakwa Raya dan untuk meminda perkara berkaitan selaras pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara.

Selain itu, Fasal 2 pula bertujuan untuk meminda Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berhubung kuasa pengampunan dan Peguam Negara ialah anggota Lembaga Pengampunan bagi setiap negeri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN