KUALA LUMPUR: Syarikat milikan penuh bumiputera, VFive Group memperkukuhkan agenda syarikat dalam industri kesihatan, teknologi hijau dan tenaga Lestari melalui penubuhan dua anak syarikat baharu, iaitu VFive Healthcare dan VFive Energy.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd. Syafiq Abdullah, penubuhan dua anak syarikat itu bukan sekadar peluasan perniagaan, tetapi merupakan langkah strategik jangka panjang syarikat dalam membina nilai baharu yang mampu memberi impak kepada ekonomi, industri dan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, langkah strategik itu juga merupakan kesinambungan kepada pelan pengembangan agresif syarikat yang sebelum ini turut meneroka sektor pembangunan hartanah dan konsesi, dalam usaha mempelbagaikan portfolio strategik serta memperkukuhkan kedudukan VFive Group sebagai syarikat bumiputera yang kompetitif dan bersedia menghadapi ekonomi masa hadapan.
“VFive melihat sektor kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui sebagai antara industri masa depan yang mempunyai potensi pertumbuhan sangat besar, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian kesihatan berkualiti, pembangunan lestari serta agenda peralihan tenaga hijau di peringkat domestik dan global.
“Kami percaya masa depan sesebuah organisasi tidak lagi hanya bergantung kepada kekuatan perniagaan tradisional semata-mata, tetapi juga keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan global, meneroka sektor strategik baharu dan membina nilai yang mampan untuk jangka panjang,” katanya.
Pengumuman berkenaan dibuat sempena Sesi Townhall VFive Group yang berlangsung di Wisma VFive Group hari ini dengan penyertaan seluruh warga kerja syarikat termasuk kakitangan di cawangan-cawangan lain secara maya.
Beliau berkata, VFive Group turut komited untuk membangunkan model perniagaan yang bukan sahaja memberi nilai komersial kepada syarikat, malah mampu menyumbang kepada agenda pembangunan negara khususnya dalam aspek kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi baharu dan pembangunan lestari.
Jelasnya, penubuhan VFive Healthcare dijangka memberi fokus kepada pembangunan ekosistem kesihatan moden termasuk penyelesaian penjagaan kesihatan, kesejahteraan serta teknologi berkaitan industri perubatan dan kesihatan.
Sementara itu, VFive Energy akan memberi penekanan kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian tenaga lestari, sejajar dengan aspirasi negara dalam memperkukuhkan agenda kelestarian dan peralihan tenaga hijau.
“Melalui langkah transformasi ini, VFive Group optimis untuk terus berkembang sebagai syarikat bumiputera progresif yang bukan sahaja kompetitif dalam landskap perniagaan semasa, malah berupaya muncul sebagai pemain strategik dalam sektor-sektor masa depan negara,” katanya. – UTUSAN










