Aroma lemak pedas cendawan tandan kelapa sawit yang baru diangkat dari kuali panas menyapa deria, memancing selera sesiapa sahaja yang melangkah ke Restoran Lepaking di Kampung Lebu, Raub, Pahang.
Muncul hanya pada musim tertentu, cendawan liar itu bukan sahaja sukar ditemui, malah memerlukan pengalaman untuk mencarinya di celahan tandan sawit tua, menjadikannya antara hidangan paling ‘rare’ dan diburu pelanggan.

Pemilik restoran tersebut, Rahana Mohd. Yusof, 46, berkata, keunikan cendawan tandan sawit menjadi identiti utama perniagaannya sehingga menarik pengunjung dari pelbagai negeri.
“Cendawan ini bukan boleh dapat setiap masa. Bila musim hujan dan tandan sawit lama mula mereput, barulah ia tumbuh. Itu pun kena pandai cari,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, cendawan tersebut dimasak secara lemak pedas bersama cili api, ikan bilis dan bawang bagi mengekalkan rasa asli kampung yang cukup menyelerakan.
“Ramai yang pertama kali rasa akan terkejut. Teksturnya lembut, rasanya unik memang lain daripada cendawan biasa,” ujarnya.

Rahana yang merupakan bekas chef hotel lima bintang dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam industri perhotelan sebelum ini pernah berkhidmat di hotel terkemuka termasuk di Hilton dan Menara Kuala Lumpur.
Namun, dia mengambil keputusan meninggalkan kerjaya tersebut demi pulang ke kampung halaman bagi menjaga ibu bapa sebelum memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan sekitar tahun 2000.
“Daripada masak untuk keluarga dan jiran, akhirnya saya buka gerai kecil di depan rumah.
Alhamdulillah, sekarang sudah jadi restoran,” katanya.
Kini, Restoran Lepaking menyediakan lebih 50 jenis lauk-pauk setiap hari yang menampilkan keunikan masakan kampung berasaskan resipi tradisi.
Antara menu lain yang turut menjadi kegemaran pelanggan ialah sup keting lembu, perut lembu rebus dan babat hitam berempah yang dimasak mengikut resipi asal arwah ibunya, Rafeah Ismail.
“Saya tidak ubah resipi mak. Itulah kekuatan masakan kami. Rasa asli yang orang cari,” katanya.
Selain itu, hidangan daging salai dan itik salai yang dihidangkan bersama masak lemak cili api atau sambal kicap turut menjadi pilihan pengunjung.
Tidak ketinggalan, kulat tahun serta pelbagai ulam-ulaman segar yang disajikan bersama sambal belacan menambahkan lagi variasi hidangan tradisional di restoran itu.
Menurut Rahana, beliau amat menitikberatkan penggunaan bahan mentah segar bagi memastikan setiap hidangan mengekalkan kualiti terbaik.
Dalam pada itu, beliau mengakui sokongan suaminya, Fahrulrazi Esti, 53, menjadi tulang belakang kepada kejayaan restoran berkenaan.
“Suami saya setiap hari cari bahan mentah, terutama hasil laut segar seperti ikan, udang, sotong dan siput sedut. Itu yang bantu kekalkan rasa dan kualiti masakan,” katanya.
Selain hidangan utama, restoran tersebut turut menawarkan minuman berasaskan kelapa segar seperti coconut shake dan air kelapa muda yang menjadi pilihan pelanggan terutama ketika cuaca panas.
“Kami guna kelapa tempatan. Rasanya lebih segar dan tak terlalu manis,” katanya.
Kehadiran pelanggan yang tidak putus-putus termasuk dari Selangor, Negeri Sembilan dan Johor membuktikan masakan kampung masih kekal relevan dan digemari.
Malah, restoran itu pernah menerima kunjungan tetamu kenamaan termasuk Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Bagi Rahana, kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil usaha berterusan serta keyakinan bahawa masakan kampung merupakan warisan yang perlu dipelihara.
“Selagi kita jaga rasa dan keaslian, makanan kampung ini tak akan hilang ditelan zaman,” katanya. –UTUSAN










