Penstrukturan subsidi bahan api perlu lebih fleksibel

Penstrukturan subsidi bahan api perlu lebih fleksibel

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penstrukturan semula subsidi bahan api perlu dilaksanakan secara lebih bersasar bagi memastikan keberkesanan dasar serta kelestarian fiskal negara.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, pendekatan penetapan kuota subsidi perlu mengambil kira perbezaan corak penggunaan antara kumpulan pendapatan serta jenis kenderaan, bagi memastikan dasar lebih objektif dan menepati keperluan sebenar pengguna.

“Jika kita mahu klasifikasikan pengguna mengikut keperluan, golongan B40 yang banyak menggunakan motosikal mungkin sekitar 80 liter sebulan, kereta dalam lingkungan 180 liter, manakala kumpulan M40 sekitar 220 liter.

“Bagi T20 pula,300 liter pun kadangkala tidak mencukupi bergantung kepada gaya hidup dan penggunaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan kerajaan berpotensi mengurangkan kuota BU­DI95 kepada 150 liter sejajar usaha kerajaan untuk memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik dalam berdepan krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, walaupun tiada garis masa ditetapkan bagi pelaksanaan pengurangan, langkah itu boleh dipertimbangkan kerana BUDI95 mempunyai keupayaan menyediakan data penggunaan secara terperinci.

Sementara itu, Barjoyai berkata, lebih 50 peratus rakyat menggunakan motosikal dengan anggaran penggunaan sekitar 80 hingga 120 liter sebulan, manakala ramai dalam kalangan B40 yang bekerja dan berulang alik ke tempat kerja memerlukan kuota lebih tinggi, termasuk sehingga 300 liter dalam sesetengah kes.

“Isunya adalah sama ada kita mahu memastikan semua orang mendapat subsidi atau hanya mereka yang benar-benar memerlukan.

“Kita juga perlu jelas bagaimana pengkelasan M40 ditentukan sama ada masih layak menerima subsidi atau tidak,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dasar subsidi perlu mengambil kira kemungkinan ketidaktentuan harga minyak global yang boleh meningkat kepada sekitar AS$120 (RM471) hingga AS$150 (RM589) setong sekiranya berlaku gangguan bekalan atau ketegangan geopolitik yang lebih serius.

“Dalam senario harga minyak tinggi, mekanisme subsidi perlu lebih bersedia. Kita mungkin berdepan pelbagai tahap krisis tenaga, jadi sistem subsidi tidak boleh kekal statik,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan kerajaan perlu mengekalkan pendekatan jangka pendek yang sedia ada sebagai langkah perlindungan kepada rakyat, selain pada masa sama membangunkan mekanisme subsidi jangka sederhana dan panjang yang lebih mampan serta mampu mengurangkan beban fiskal negara.

“Dalam jangka pendek, teruskan pendekatan semasa supaya Malaysia kekal sebagai negara yang prihatin kepada rakyat. Tetapi dalam jangka sederhana dan panjang, perlu ada pembaharuan mekanisme untuk menjimatkan kos dan meningkatkan hasil kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN