Trump tidak peduli beban rakyat AS, utamakan usaha halang Iran miliki senjata nuklear

Trump tidak peduli beban rakyat AS, utamakan usaha halang Iran miliki senjata nuklear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden, Do­nald Trump mengakui tidak memikirkan tentang beban kewangan dihadapi rakyat Amerika Syarikat (AS) ketika berusaha merundingkan penamatan perang dengan Iran, sebaliknya menegaskan usaha menghalang Teheran daripada memiliki senjata nuklear kini adalah keutamaannya.

Ketika ditanya sejauh mana keadaan kewangan rakyat AS mempengaruhi usahanya mencapai perjanjian, Trump dengan angkuh menjawab ‘tidak sedikit pun’.

“Satu-satunya perkara yang penting apabila saya bercakap mengenai Iran ialah mereka tidak boleh memiliki senjata nuklear. Saya tidak memikirkan keadaan kewangan rakyat AS. Saya tidak memikirkan sesiapa pun.

“Saya hanya fikir satu perkara iaitu kita tidak boleh benarkan Iran memiliki senjata nuklear. Itu sahaja. Itu satu-satunya perkara yang mendorong saya,” kata Trump sebelum berlepas dari Rumah Putih untuk lawatan ke China.

Kenyataan Trump dijangka mengundang perhatian pengkritik yang berpendapat pentadbiran beliau perlu mengimbangi matlamat geopolitik dengan kesan ekonomi terhadap rakyat AS.

Perkara itu disifatkan lebih penting, terutama ketika isu kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama pengundi menjelang pilihan raya pertengahan penggal November ini.

Ketika diminta menjelaskan komen Trump, Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Steven Cheung berkata, tanggungjawab utama presiden ialah memastikan keselamatan rakyat AS.

“Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dan jika tindakan tidak diambil, mereka akan memilikinya yang mengancam semua rakyat AS,” katanya.

Trump kini berdepan tekanan daripada rakan Republikan sendiri yang bimbang kesan ekonomi akibat perang boleh mencetuskan kemarahan pengundi terhadap parti itu serta menyebabkan mereka kehilangan kawalan Dewan Perwakilan dan mungkin juga Senat pada November.

INFLASI MENINGKAT

Peningkatan kos tenaga susulan konflik Iran turut menaikkan harga petrol dan menyumbang kepada inflasi.

Jabatan Buruh AS memaklumkan inflasi pengguna di AS terus meningkat pada April, dengan kadar tahunan mencatat kenaikan terbesar dalam tempoh tiga tahun.

Data itu menunjukkan harga makanan juga terus melonjak,dengan kos sewa rumah dan tambang penerbangan turut meningkat.

Biro Statistik Buruh AS mela­porkan harga barangan runcit di negara itu meningkat 0.7 peratus pada April, iaitu kenaikan bulanan terbesar dalam hampir empat tahun.

Menurut media tempatan, lonjakan itu mengesahkan amaran perang dengan Iran sedang meningkatkan kos makanan untuk rakyat di seluruh AS.

Secara tahunan, harga sayur-sayuran segar meningkat lebih 44 peratus berbanding tiga bulan lalu. Dalam tempoh sama, kos barangan asas lain seperti roti dan susu mencatat kenaikan lebih sederhana masing-masing sebanyak lapan dan lima peratus.

Peningkatan kos penghantaran dan permintaan global yang tinggi terus menolak harga ke paras lebih tinggi. Sepanjang tiga bulan lalu, harga kopi runcit di AS meningkat pada kadar tahunan melebihi 22 peratus.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meneruskan kenaikan dengan harga melepasi AS$107 (RM420) setong susulan kebuntuan berkaitan Selat Hormuz yang sebahagian besarnya masih ditutup.

Markas Pusat AS (CETCOM) berkata, kapal induk USS Abraham Lincoln berada di Laut Arab bagi menguatkuasakan sekatan AS, di mana ia mengalihkan laluan 65 kapal komersial serta melumpuhkan empat lagi kapal.

Pentagon menganggarkan kos perang setakat ini mencecah AS$29 bilion (RM113.89 bilion), meningkat AS$4 bilion (RM15.71 bilion) berbanding anggaran yang diberikan pada hujung bulan lalu.

Seorang pegawai memberitahu penggubal undang-undang, kos baharu itu merangkumi kerja pembaikan dan penggantian peralatan yang dikemas kini serta kos operasi.

Tinjauan pendapat menunjukkan perang AS-Israel menentang Iran tidak popular dalam kalangan pengundi AS, kurang enam bulan sebelum pilihan raya seluruh negara yang akan menentukan sama ada Parti Republikan pimpinan Trump dapat mengekalkan kawalan ke atas Kongres.

Menurut tinjauan Reuters/Ipsos yang selesai pada Isnin, dua daripada tiga rakyat AS, termasuk seorang daripada tiga penyokong Republikan dan hampir semua penyokong Demokrat berpendapat, Trump tidak membentangkan dengan jelas sebab negara itu terlibat dalam perang tersebut.

NUKLEAR IRAN

Trump mempertahankan pen­­de­ka­tannya sebagai isu kesela­matan nasional dan global, sambil menggambarkan kebimbangan ekonomi sebagai perkara kedua berbanding usaha menghalang percambahan senjata nuklear.

Bagaimanapun, penilaian perisikan AS menunjukkan tempoh yang diperlukan Iran untuk membina senjata nuklear tidak berubah sejak musim panas lalu.

Penganalisis menganggarkan serangan AS-Israel telah melanjutkan tempoh itu kepada antara sembilan bulan hingga setahun, menurut tiga sumber yang mengetahui perkara tersebut.

Penilaian terhadap program nuklear Teheran secara keseluruhan juga dilaporkan tidak banyak berubah walaupun perang sudah berlarutan selama dua bulan.

Sekutu Trump turut mengulangi hujah ancaman daripada Iran yang memiliki senjata nuklear lebih besar berbanding kesukaran ekonomi jangka pendek.

Iran menafikan ia berusaha membangunkan senjata nuklear dan menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan aman, namun kuasa Barat mengesyaki Teheran mahu membina keupayaan menghasilkan bom nuklear.

Wartawan Al Jazeera di Washington berkata, pendirian semasa Trump juga menunjukkan gencatan senjata akan terus berlangsung sehingga beliau mengatakan sebaliknya, selepas Presiden AS itu sebelum ini menyatakan akan memenangi perang tersebut secara aman atau sebaliknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN