MANCHESTER: Prestasi cemerlang Manchester United ketika ini membuatkan pengurusan tertinggi kelab berdepan ‘masalah’ untuk memilih pengurus tetap yang baharu.
Walaupun Michael Carrick dilihat berada dalam kedudukan terbaik, pengurusan United dipercayai masih menilai beberapa calon lain sebelum membuat keputusan muktamad.
Carrick mengambil alih tugas itu Januari lalu dan berjaya mengubah prestasi United apabila melakar 10 kemenangan, tiga seri serta hanya dua kekalahan dalam 15 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Jurulatih berusia 44 tahun yang juga bekas bintang United itu turut membawa The Red Devils layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), sekali gus menguatkan peluangnya untuk dilantik secara tetap.
Perancang tengah United, Casemiro berkata, kelab akan berdepan masalah untuk membuat pemilihan kerana Carrick membuktikan dirinya layak untuk berada di Old Trafford secara tetap.
Casemiro yang akan meninggalkan United sebaik kontraknya tamat musim panas ini berkata, Carrick sudah memberikan dilema besar menerusi impak positif dibawanya.
“Ia masalah besar kerana dia memang layak kekal. Pasukan bermain sangat baik dan boleh menang mana-mana perlawanan. Pasukan semakin meningkat dari hari ke hari dan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Bagi saya, ini masalah besar kerana pada pandangan saya dia layak diberikan peluang ini. Pasukan juga sangat selesa bersamanya. Kami meraih kemenangan besar dan bagi saya dia memang layak mendapat peluang itu,” kata Casemiro. – AGENSI/UTUSAN










