Pasaran pekerjaan dijangka perlahan pada separuh kedua 2026

Pasaran pekerjaan dijangka perlahan pada separuh kedua 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran pekerjaan Malaysia dijangka menunjukkan tanda-tanda kelembapan pada separuh kedua 2026, susulan persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar, meskipun kadar pengangguran negara kekal rendah dan berada pada paras guna tenaga penuh.

Penganalisis BIMB Securities Sdn. Bhd, Amiratul Husna berkata, purata kadar pengangguran Malaysia diunjur sekitar 3.1 peratus pada 2026, dengan kadar semasa masih berada pada paras terendah sejak 2014.

Menurutnya, kelembapan pasaran buruh dijangka dipengaruhi krisis tenaga global yang berterusan, gangguan rantaian bekalan serta permintaan global yang sederhana.

“Namun begitu, keseluruhan pasaran buruh kekal berada dalam keadaan guna tenaga penuh seperti dicerminkan oleh kadar pengangguran semasa.

“Keadaan ini turut menyokong daya tahan domestik, khususnya dalam memacu sektor perkhidmatan yang disokong permintaan pengguna yang kekal kukuh,” katanya dalam nota penyelidikan.

Amiratul berkata, pertumbuhan guna tenaga Malaysia mencatat kadar paling perlahan sejak Mac 2021, antara lain disebabkan oleh krisis tenaga global yang berterusan, gangguan rantaian bekalan serta permintaan global yang sederhana.

Dalam masa sama, beliau berkata, kadar penguncupan bilangan penganggur susut kepada paras terendah lebih empat tahun iaitu 3.9 peratus tahun ke tahun kepada 509,000 orang.

“Namun begitu, pasaran buruh kekal berdaya tahan apabila kadar pengangguran berada pada paras terendah sedekad iaitu 2.9 peratus, sekali gus mencerminkan keadaan guna tenaga penuh.

“Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) kekal tidak berubah pada 70.9 peratus, menunjukkan penyertaan tenaga kerja yang stabil serta penciptaan pekerjaan yang berterusan,” jelasnya.

Jelasnya, guna tenaga mencatat paras tertinggi baharu, meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan (13,200) kepada 16.80 juta berbanding 16.79 juta pada Februari.

Menurutnya, nisbah guna tenaga kepada populasi, iaitu petunjuk utama keupayaan ekonomi menjana pekerjaan, kekal pada paras rekod tertinggi 68.8 peratus.

“Dari segi sektor, sektor berorientasikan perkhidmatan mencatat jumlah guna tenaga tertinggi, khususnya dalam aktiviti penginapan serta makanan dan minuman, maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan.

“Pertambahan guna tenaga turut direkodkan dalam sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian mencatat sedikit penurunan pada bulan tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata, kadar pengangguran belia masih berada pada paras dua digit, dengan kadar bagi golongan berumur 15 hingga 24 tahun sebanyak 10.2 peratus, bersamaan 290,000 penganggur (Februari: 288,700).

“Sementara itu, kadar pengangguran bagi kumpulan umur lebih luas 15 hingga 30 tahun kekal pada 6.2 peratus, dengan jumlah penganggur meningkat sedikit kepada 390,900 berbanding 389,500 pada Februari,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN