M K Land bakal bina loji solar 29.99MW di Kulim - Utusan Malaysia

M K Land bakal bina loji solar 29.99MW di Kulim

FRANKIE Chai (lima dari kanan) bersama rakan strategik global dan pasukan pengurusan Citra Energies pada majlis Penutupan Kewangan projek loji solar PV 29.99MWac di Mukim Padang Meha, Kulim, Kedah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA M K Land Holdings Berhad (M K Land) melalui anak syarikatnya, Citra Energies Sdn. Bhd. (Citra Energies) berjaya memperoleh Penutupan Kewangan bagi pembangunan loji solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 29.99 MW di Kulim, Kedah.

Pencapaian itu membolehkan pembinaan loji solar tersebut dimulakan sepenuhnya di Mukim Padang Meha, di bawah program Corporate Green Power Programme (CGPP), sekali gus memperkukuh langkah kumpulan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE).

Ketua Pegawai Operasi Sumber Kumpulan M K Land yang juga Pengarah Citra Energies, Frankie Chai berkata, projek tersebut mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam membangunkan platform tenaga mampan bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

“Ia melambangkan keyakinan kami terhadap masa depan tenaga bersih sebagai pemacu daya tahan ekonomi dan daya saing serantau, selain menyokong sasaran sifar bersih negara menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan.

Projek tersebut melibatkan kerjasama strategik global dan tempatan, termasuk sokongan pembiayaan daripada institusi kewangan antarabangsa serta pelantikan pakar tempatan bagi perkhidmatan Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC).

Apabila siap, loji solar itu akan membekalkan tenaga secara terus ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan disalurkan kepada pengguna korporat melalui Perjanjian Pembelian Kuasa Maya (VPPA) untuk tempoh 21 tahun.

Struktur perjanjian itu bukan sahaja menjamin aliran pendapatan berulang yang stabil buat M K Land, malah memenuhi permintaan tinggi daripada syarikat multinasional yang kini giat mencari penyelesaian tenaga bersih untuk operasi mereka.

Pencapaian terbaharu ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan loji solar berskala besar pertama M K Land, Solar Citra di Lembah Beriah, Perak yang berkapasiti 10.95MW di bawah program LSS4.

Pembangunan projek berskala besar ini juga selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) yang menekankan kepentingan kerjasama awam-swasta dalam memajukan infrastruktur tenaga mampan negara. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN