Pergi haji ikut saluran betul elak tertipu

Pergi haji ikut saluran betul elak tertipu

ZALIFAH Md. Alwi bersama seorang petugas haji ketika membeli makanan di Kafeteria Hotel Albraj Al-Janadriyah, Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: “Saya doa tiap-tiap ha­ri, jadikan saya tetamu VIP Allah.”

Demikian antara doa seorang jemaah haji Malaysia, Zalipah Md. Alwi, 73, yang datang seorang diri ke Mekah dan im­piannya menunaikan ibadah haji akhirnya menjadi kenyata­an selepas lebih 30 tahun.

Beliau berkata, impian menunaikan haji sudah dipendam sejak usia 40 tahun namun tertangguh berikutan pelbagai ujian termasuk perlu menjaga ibunya yang uzur dan berdepan pandemik Covid-19.

Katanya, doa menjadi ‘tetamu VIP Allah’ bukan bermaksud kemewahan, sebaliknya dia berharap segala urusan ibadah dipermudahkan sepanjang berada di tanah suci.

“Saya selalu cakap pada diri sendiri, jadikan saya tetamu VIP Allah. Minta yang baik-baik, doa benda yang kita rasa mustahil pun.

“Insya-Allah Allah dengar, Alhamdulillah, akhirnya Allah makbulkan. Bila berada di sini, segala urusan dipermudahkan, rasa sangat bersyukur.

“Walaupun datang seorang, tapi saya rasa Allah mudahkan urusan saya. Kawan-kawan pun baik, perjalanan pun dipermudahkan. Itu yang saya maksudkan jadi tetamu VIP Allah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Zalifah, dia pernah menyimpan impian menunaikan haji sejak berusia 40 tahun, namun belum berkesempatan kerana pelbagai kekangan termasuk menjaga ibunya yang sakit.

Katanya, pemergian ibunya akibat Covid-19 menjadi antara detik paling berat dalam hidup, namun beliau reda dan percaya setiap ketentuan Allah mempunyai hikmah.

Malah kata Zalifah, perjalanan hidupnya tidak mudah apabila pernah menjadi mangsa penipuan pakej umrah sehingga kerugian RM14,000 bersama suami beberapa tahun lalu.

Namun wanita itu berkata, pengalaman tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus menanam impian menunaikan haji.

“Mungkin Allah tangguhkan sebab saya kena jaga mak dulu. Bila mak meninggal dunia, baru Allah jemput datang sini,” katanya.

Tambahnya, dia percaya konsep bergantung sepenuhnya kepada Allah perlu difahami terutama generasi muda ketika berdepan ujian hidup.

Dalam pada itu, dia menasihatkan bakal jemaah haji dan umrah supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran perjalanan secara persendirian atau pakej tidak sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN